KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengambil langkah proaktif membuat transformasi politik dalaman parti masing-masing supaya seiring dengan keperluan masa kini.
Beliau juga mengingatkan para pemimpin BN bahawa mereka tidak boleh lagi selesa dengan cara pendekatan lama, sebaliknya mengambil usaha baru, termasuk memperjuangkan hak dan kepentingan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang.
Beliau berkata ini perlu memandangkan pendekatan lapuk tidak lagi mendapat sokongan rakyat kini.
"Kita tidak boleh lagi ambil usaha yang sama seperti yang kita buat 10, 20 tahun yang lalu. Masa telah berubah, harapan (rakyat) juga berubah, dan ini memerlukan pendekatan yang baru," katanya
"Kita perlu buktikan kepada rakyat yang pendekatan diguna BN juga berubah. Rakyat mahu pendekatan baru, mereka mahu setiap komponen parti memperjuangkan untuk semua kaum di negara ini," katanya semasa merasmikan Konvensyen Parti Progresif Rakyat (PPP) Wilayah Persekutuan 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Timbalan Perdana Menteri berkata transformasi politik ini juga penting bagi mendokong pelbagai agenda transformasi kerajaan seperti Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan sedang dilaksanakan yang bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat serta melonjakkan negara ke status ekonomi maju.
Muhyiddin turut menekankan perpaduan dalaman parti, yang katanya bukan hanya bagi mengukuhkan BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, malah apa yang lebih penting ialah bagi membolehkan meneruskan usaha membela nasib rakyat.
"Itu sebab soal transformasi politik mesti sehaluan dengan transformasi kerajaan.
"Sekiranya tidak, apa juga usaha yang dibawa oleh pimpinan kerajan tidak mungkin dapat tercapai matlamatnya sekiranya transformasi politik tidak berlaku dalam masa yang sama," katanya.
Sehubungan itu, beliau juga mahu semua lapisan pemimpin BN mengambil berat dan mendalami agenda transformasi kerajaan, khasnya kandungan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dibentangkan Perdana Menteri Khamis lepas.
-- BERNAMA