Rabu, 16 Jun 2010
Dadah: Nasib Saiful Apek Ditentukan Esok
PETALING JAYA: Nasib pelakon komedi terkenal, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 41, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek (gambar) bersama lima rakannya yang kini masih direman kerana disyaki memiliki 40 gram ganja akan diketahui esok.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mStar Online berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada sebelah pagi.
"Sama ada mereka dibenarkan diikat jamin akan ditentukan esok," katanya.
Hari ini, tempoh reman Saiful Apek bersama lima rakannya dilanjutkan sehari lagi.
Sebelum ini, mereka direman selama empat hari.
Majistret Aishah Hijriah Arshad membenarkan tempoh reman terhadap semua suspek dilanjutkan sehari bagi membantu polis menyelesaikan siasatan di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab pemilikan dadah manakala Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas sebab penggunaan dadah.
Pada 12 Jun lalu, Saiful dan lima rakannya yang lain ditahan polis dalam satu serbuan di apartmennya di Jalan PJS7 Subang Jaya dekat sini kira-kira pukul 10 malam ketika mereka sedang seronok menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Dunia di antara Argentina dan Nigeria.
Apek terkenal dengan filem-filem lakonannya seperti Senario Lagi (2000), Senario The Movie (1999), Nana Tanjung 2 (2007) dan Cicak Man (2006).
Beliau juga seringkali muncul bersama kumpulan lawak Senario dalam siri komedi Senario di TV3.
Labels:
Kenyataan Akhbar