Selasa, 15 Jun 2010

Rundingan terus kontrak bernilai RM8 bilion kepada DRB-Hicim Defence Technologies

Kementerian Pertahanan menganugerah kontrak bernilai RM8 bilion kepada syarikat DRB-Hicim Defence Technologies Sdn Bhd (DETECH) secara rundingan terus tanpa melalui proses tender terbuka, menurut Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dalam parlimen hari ini.

Azmin semasa sesi pertanyaan lisan pagi tadi meminta Kementerian Pertahanan menyatakan secara terperinci, amalan dan prosedur dalam penganugerahan tender kelengkapan ketenteraan, termasuk kereta perisai yang bernilai RM8 bilion kepada DETECH yang ditandatangani pada 20 April 2010.

"Kalau diambil kira jumlah kos yang diperlukan bagi kenderaan kereta perisai yang dikenali sebagai AV-8 yang berjumlah 233 unit, bermakna jumlah setiap unit adalah bersamaan dengan RM34 juta. Mana mungkin perolehan tadi dibuat secara terburu-buru?.

"Sebagai contoh, kerajaan Britain juga telah menjalankan program ketenteraan yang sama, yang diberi nama program 'Future Rapid Effect System', yang menggunakan kenderaan yang sama iaitu AV-8 yang menelan belanja sehingga RM22 bilion, tetapi program ini dihentikan pada 2008 kerana kerajaan Britain terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM43 bilion.

"Jadi apakah jaminan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan bahawa progam ini akan berjalan dengan baik, sedangkan kerajaan Britain telah pun mengumumkan pembatalan program yang sama kerana kosnya melonjak lebih tinggi?," soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan mengurus satu kontrak yang melibatkan jumlah yang besar tanpa proses tender terbuka.

"Kerajaan Umno-BN sepatutnya telah menetapkan harga siling bagi kos-kos dan peralatan tanpa meneliti dengan terperinci butiran yang diperlukan oleh kerajaan.

"Jadi apakah pertimbangan yang akan diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam menganugerahkan kontrak secara rundingan terus kepada DETECH tanpa mengambil kira pengalaman Britain yang melalui program yang sama dan telah pun mencapai kegagalan," tegas Azmin lagi.

Beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan jawapan bagi mengelakkan negara tidak bankrap menjelang tahun 2019.


Related Posts with Thumbnails