Khamis, 17 Jun 2010

Enjin Jet F5-E: Bapa Buat Laporan Polis Dakwa Tharmendran Diseksa

Dari Mstar

Keluarga kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N. Tharmendran, yang didakwa mencuri dua enjin jet F5-E melakukan laporan di Balai Polis Brickfields atas dakwaan Tharmendran diseksa ketika dalam tahanan dan dijadikan kambing hitam.

“Kami akan mengenal pasti pihak yang berbuat demikian terhadapnya dalam laporan ini,” kata bapa Tharmendran, N. Nagarajah sebelum membuat laporan polis dengan ditemani peguam N. Surendran; Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manoharan dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam.

Nagarajah juga berkata, “tidak mungkin seorang individu mampu mencuri enjin-enjin itu secara bersendirian” dan mendakwa pihak atasan TUDM terbabit sama dalam kehilangan enjin jet berkenaan yang kini dilaporkan berada di Uruguay.

Bapa itu mendakwa bahawa peralatan dan alat ganti berkaitan dengan enjin-enjin itu juga hilang tetapi perkara itu tidak pernah dilaporkan.

“Ramai pihak berpengaruh terlibat sama tetapi mereka menggunakan anak saya untuk menanggung kesalahan itu,” tambahnya.

Pada 6 Januari lalu, Tharmendran didakwa atas tuduhan mencuri enjin jet pada Disember 2007 di pangkalan TUDM Subang manakala ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad didakwa membantunya membuang enjin-enjin tersebut 30 April 2008.

Seorang lagi anggota TUDM, Mohamad Shukri Mohd Yusop didakwa bersekongkol dengan Tharmendran dalam kejadian itu.

Rajandran telah diikat jamin bagaimanapun Tharmendran yang gagal membayar jaminan sebanyak RM150,000 itu terpaksa duduk dalam tahanan sejak enam bulan lalu. Perbicaraan dijadualkan bermula 19 Julai ini.


Related Posts with Thumbnails