Jumaat, 2 Julai 2010

Husam: Umno keringkan wang Felda

Oleh: Abdul Rahim Sabri

Exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa sebuah firma arkitek yang diterajui oleh seorang pemimpin pemuda Umno diberikan projek bukan bidang Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) tetapi menggunakan peruntukan daripada rizab tunai lembaga itu.

"Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

"Firma arkitek diterajui seorang ketua pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

"Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....," tulis Husam di dalam blognya kelmarin.

Husam mengulas mengenai bagaimana rizab tunai Felda yang dibelanjakan susulan pendedahan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berhubung status kewangan Felda yang merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun pertengahan bulan lalu di parlimen.

Husam berkata terdapat projek yang bukan bidang tugas Felda dibiayai oleh agensi tersebut "atas sifat pemurahnya" seperti kolej komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), menaik taraf bekalan air di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

"Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya.

"Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun," katanya.

Husam turut mendakwa firma arkitek tersebut bertangggungjawab membangunkan empat kawasan Felda yang "dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan" yang dikenali sebagai Feldajaya.

Beliau juga mendakwa pembangunan bagi keempat-empat Feldajaya itu - Mempaga, Trolak, Serting dan Cini - setakat ini menelan kosnya sebanyak RM 152 juta.

"Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina.

"Sama ada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

"Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah. RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini," katanya.

Husam turut menjelaskan bahawa beliau sebelum ini telah mendedahkan pelaburan Felda sebanyak RM 800 juta di Amerika Syarikat dan Kanada.

"Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan! Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

"Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit," katanya.

~Malaysiakini
Related Posts with Thumbnails