SHAH ALAM, 26 Jun – Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan tindakan pengurusan Felda mahu menyaman akhbar Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dirinya hanya sebagai taktik politik untuk menakutkan mereka.
“Ini adalah taktik politik untuk menakut-nakutkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan mengenai Felda.
“Bagi saya tidak kisah kena saman kerana yang penting rakyat tahu apa yang berlaku dalam Felda.
“Malah saya kekal dengan kenyataan yang dikeluarkan media sebelum ini mengenai Felda,” katanya ketika ditemui di sesi permukiman PKR di sini petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pengurusan Felda yang mahu menyaman Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah lembaga tersebut sudah muflis.
Selain Anwar dan Zaid, Felda juga akan menyaman Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR Datuk Dr Tan Kee Kuang, Pengerusi Biro Felda Suhaimi Said dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Wahid Endut dari PAS.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.
“Kita akan saman Suara Keadilan dan pemimpin yang mengatakan bahawa Felda bankrup. Felda ada aset RM12.2 bilion difitnah bankrap.
“Kita akan saman mereka, mungkin ratusan juta. Kita masih dalam perbincangan untuk menentukan berapa jumlah untuk menyaman mereka.
“Tindakan mereka memfitnah Felda memberikan kesan kepada warga Felda termasuk kakitangan dan peneroka. Kenyataan fitnah yang dikeluarkan itu adalah tidak tepat dan berniat jahat,” katanya semalam.
Turut akan disaman pemilik permit, penulis dan Ketua Pengarang Suara Keadilan.
Zaid berkata tindakan lembaga tersebut ingin menyaman dalam jumlah yang besar adalah sebagai satu penyakit.
“Ini adalah satu penyakit yang berlaku sekarang yang mana jika berkaitan saman ia pasti akan melibatkan jumlah yang besar.
“Tidak kisah jika mereka (Felda) mahu saman dengan banyak tapi kena lihat surat dulu. Biasanya orang yang kena saman akan banyak mengikut jumlah kerugian yang ditetapkan mahkamah,” katanya.