Jumaat, 2 Julai 2010

Kapal selam kedua, KD Tun Razak

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di perairan negara pada Khamis dari limbungan pembinaannya di Madrid, Sepanyol.

Kapal selam jenis Scorpene yang dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 8 Okt 2008 itu kini dalam perjalanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk sambutan rasminya pada Jumaat.

Menurut kenyataan TLDM, sambutan rasmi pada sebelah petang akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

KD Tun Razak dinamakan bersempena Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu atas sumbangannya kepada kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.

KD Tun Razak yang dikendalikan oleh 31 anggota krew bergerak dengan tenaga diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter.

Pemilikan kapal selam itu adalah sejajar dengan keperluan serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada TLDM bagi memastikan perairan negara termasuk Zon Ekonomi Eksklusif dikawal dan dipertahankan pada setiap masa.

~BERNAMA
Related Posts with Thumbnails