Rabu, 30 Jun 2010

Tragedi Natrah : Dimana UMNO ketika itu?

~

Dalam Muzakarah pakar yang menghalusi implikasi peristiwa rusuhan Natrah enam dekad lalu hari ini menggesa kesemua parti bercirikan Islam digabungkan untuk memastikan survival Islam dan tidak dipinggiri kuasa politik mereka.


Pandangan ini dikemukakan oleh penulis buku “Natrah: Cinta, Rusuhan, Air Mata” Datin Seri Fatini Yaacob yang membentangkan kertas kerja “Selepas 60 Tahun Kes Natrah; Di Mana Kita? - Perspektif Sosial” di sini hari ini.

Kata Fatini, selain persoalan undang-undang Islam kes Natrah juga membawa “kita memahami persoalan kuasa atau politik demi memastikan survival Islam.”

“Tidak akan terangkat Islam sekiranya kuasa hilang dari tangan kita,” katanya.

Fatini berkata penganut Islam dilihat lemah selepas pilihan raya umum ke-12 dan disusuli dengan provokasi bertubi-tubi mengenai umat Islam.

“Pilihan raya umum ke-12 telah mencabar kedudukan kuasa kita,” katanya.

Kata beliau, cabaran pilihan raya umum ke-13 akan lebih hebat kerana orang-orang bukan Islam mula mendapat idea melemahkan dan membuat percaturan politik sendiri dan “merbahaya terhadap pemilikan kuasa yang masih kita pegang.”

“Orang-orang Melayu berpecah dari segi politik kepada tiga parti besar - Umno, PKR dan PAS.
Sepenuhnya sila baca di SINI


Hmm.. Kenapa kita sering mendengar isu mengenai Melayu dikatakan berpecah selepas PRU12 yang lalu? Melayu dikatakan berpecah hanya setelah UMNO/BN gagal mempertahankan majoriti2/3 mereka di Parlimen

Fatini menggesa kesemua parti bercirikan Islam digabungkan untuk memastikan survival Islam dan tidak dipinggiri kuasa politik mereka.

Memang benar ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’.. dibawah panji-panji Parti yang mana satukah Melayu perlu bergabung? PKR, PAS atau UMNO?

Dari kata-kata Fatini ini “Pilihan raya umum ke-12 telah mencabar kedudukan kuasa kita,” jelas menggambarkan Fatini mahu seluruh Melayu yang berugama Islam bersatu atau bergabung di dalam Parti UMNO.

Baiklah.. andaikata seluruh Melayu begabung dibawah UMNO adakah UMNO akan memastikan memastikan survival Islam?

Memandangkan Fatini menggesa seluruh Bangsa Melayu bersatu dengan mengambil Tragedi Natrah sebagai iktibar, mari kita lihat apa yang pemimpin UMNO lakukan ketika tragedy ini berlaku.

Ketika berlakunya Tragedi Natrah atau UMNO memang mendapat sokongan dari kebanyakan Bangsa Melayu tetapi menurut bekas ketua pengarang Utusan Melayu sebelum diambil alih UMNO, Said Zahari yang dipetik dari TV Selangor berkata, “UMNO tidak mengambil peduli isu berkenaan sebaliknya membiarkan tokoh pembangkang lain memainkan peranan.”

"Umno sebagai parti tidak terlibat. Kecuali adalah beberapa orang pemimpin kelahiran Singapura antaranya (Tun) Saadon Zubir,". Beliau mengakui perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman terlibat dalam perjuangan berkenaan tetapi Presiden UMNO kedua itu pada masa berkenaan, belum menyertai UMNO.

Bagi rakyat yang tidak ‘dibutakan’ sejarah yang dicanang UMNO, kita ketahui bahawa gerakan memperjuangkan akidah Natrah bukan gerakan bersepadu parti politik sebaliknya didominasi tokoh parti pembangkang termasuk bekas presiden PAS, Dr Burhanuddin Helmy.

Fakta sejarah juga termaktub bahawa UMNO tidak membuat apa-apa sebagai sebuah parti malah mengambil sikap berkecuali berikutan hubungan baiknya dengan penjajah Inggeris yang ketika itu terikat dengan Perjanjian Inggeris-Belanda.

Malah, Presiden UMNO ketika itu, Datuk Onn Jaafar dipetik sebagai berkata beliau “enggan campur tangan kerana ia bukan isu politik, sosial mahupun keagamaan.” Sehingga kini, tragedi yang menimpa Natrah dipadamkan dari lipatan sejarah tanah air lantaran ia tidak terkandung dalam skema pembelajaran sejak dulu lagi.


Sedikit Kisah Natrah

Maria 'Bertha' Hertogh yang pernah bergelar Natrah binti Maarof diketahui umum sebagai orang yang pernah menggemparkan negara kita apabila menjadi objek utama konflik agama pada 1950. Namun tidak ramai yang sedia mengakui bahawa kanak-kanak yang dibesarkan sebagai orang Islam itu sebenarnya menjadi mangsa sentimen agama dan perkauman penjajah.

Bahkan tidak ramai yang sedar bahawa nasib seburuk itu menimpa Natrah adalah disebabkan sikap tidak serius penguasa politik Melayu-Islam di negara kita ketika itu, khususnya para pemimpin Umno, dalam membela dan mempertahankan akidah kanak-kanak itu.

Natrah atau nama sebenarnya Huberdina Maria Hertogh ialah anak pasangan Belanda Adelaine dan Adrianus Petrus Hertogh. Orang-orang Belanda memanggilnya Bertha.

Bapanya itu adalah sarjan tentera di dalam Tentera Diraja Hindia Timur Belanda di Indonesia. Adelaine pula memang menetap di Jawa, bersama kedua ibu bapa.

Maria adalah anak ketiga pasangan itu. Dia dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Tjimahi.

Apabila tentera Jepun menduduki Indonesia pada 15 Februari 1942, sebilangan tentera Belanda menjadi tawanan perang. Antara tawanan itu Adrianus yag ketika itu berusia 37 tahun.

Adelaine yang ketika itu sedang mengandungkan anak keenam mereka akhirnya menyerahkan Maria untuk dijadikan anak angkat kepada Che Aminah Mohamad. Wanita berasal dari Kemaman, Terengganu itu ketika itu menetap di Jawa bersama suaminya, Maarof Haji Abdul, yang memiliki perniagaan emas di Bandung. Kebetulan pula Aminah adalah kenalan agak rapat dengan ibu Adelaine, Louise Winterberg, seorang pelakon opera Melayu di situ.

Sejak itu Maria dibesarkan sebagai seorang kanak-kanak Islam dan diberi nama Matrah binti Maarof. Sejurus sebelum Belanda kembali merampas semula tanah jajahan daripada Jepun, beliau meninggalkan Bandung dan pulang ke kampung halamannya di Kemaman.

Di situlah Natrah menarik perhatian Pegawai Pentadbir Inggeris(Timur), Sir Arthur Locke. Kedengkian dan perasaan terhinanya melihat seorang anak Belanda dibesarkan sebagai orang Melayu beragama Islam mengubah seluruh kehidupan Natrah selepas itu.

Pentadbir Inggeris itulah yang telah menggunakan tipu muslihat memujuk Aminah supaya membawa Natrah menemui Konsul Belanda di Tanah Jajahan Singapura. Kononnya beliau ikhlas mahu membantu Aminah mendapatkan surat keterangan yang sah tentang pengambilan Natrah sebagai anak angkat.

Setelah termakan pujukan itu, Aminah membawa Natrah ke Singapura. Maka berlakulah apa yang berlaku. Pihak Konsulat Belanda membantu kedua ibu bapa kandung kanak-kanak berusia 13 tahun itu membuat tuntutan mahkamah hak penjagaan ke atas Maria.

Perbicaraan dilakukan di bawah undang-undang Inggeris. Natrah diasingkan daripada Aminah. Sementara menunggu perbicaraan, beliau ditempatkan di bawah pengawasan gereja. Gambar-gambar Natrah dipaksa kembali kepada agama ibu bapanya yang disiarkan akhbar membangkitkan kemarahan umat Islam.

Rujukan-rujukan terhadap ajaran agama Islam secara negatif dan jahat oleh para peguam pembela ibubapanya di mahkamah juga amat mengguris hati umat Islam yang mengikuti perbicaraan tersebut dan perkembangan kes itu.

Umat Islam bangkit membantah. Akidah Natrah cuba diselamatkan. Maruah Islam mesti dipertahankan.

Jawatankuasa Tindakan Natrah ditubuhkan. Nadi penggeraknya ialah Karim Ghani, Presiden Liga Islam dan Persatuan Dakwah Islam Se-Malaya berpusat di Singapura. Beliau juga editor akhbar India Muslim, Malaya Nanban dan dua akhbar lain.

Karim Ghani dibantu sahabat karibnya, Dr Burhanuddin al-Helmy. Selaku Editor akhbar Melayu Raya, Dr Burhanuddin menghasilkan siri tulisan yang membangkitkan kesedaran dan keprihatinan umat Islam terhadap konflik dan perebutan hak penjagaan ke atas Natrah. Tidak sedikit peranan beliau dalam membangkitkan kemarahan umat Islam terhadap mainan kuasa dan penghinaan terhadap Islam oleh penjajah.

Ringkasnya, berlakulah apa yang berlaku. Natrah dikembalikan kepada ibu bapanya. Mereka segera kembali ke Belanda. Rusuhan tercetus dan 18 nyawa terkorban. Beratus lagi ditahan dan dibicarakan.

Apa yang diakui cacatan sejarah, dan amat dikesalkan, peranan Umno selaku parti anak emas penjajah ketika itu hampir tiada di sepanjang pergolakan itu. Jika ada pun sokongan diberikan, ianya sangat minima. Antaranya dari pergerakan kaum ibu Umno bahagian Johor Bahru dan Negeri Sembilan.

Sardon Jubir, seorang aktivis muda Umno ketika itu terlibat secara langsung di atas profesionnya sebagai peguam. Beliau menyertai pasukan pengamal undang-undang memberi khidmat guaman kepada Aminah yang cuba menyelematkan Natrah.

Catatan sejarah mengesahkan Sardon selaku penyokong kuat Umno ada mencuba menyeret Umno ikut serta memainkan peranan sepatutnya dalam pergolakan itu, namun gagal. Umno tidak bersedia campur tangan dan tidak mahu memanfaatkan hubungan baiknya dengan penjajah untuk mencari penyelesaian lebih baik.

Malah ada penulis sejarah menafsirkan bahawa Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar sengaja menyisih diri dan mengelak daripada terlibat dengan konflik tersebut. Sedangkan di atas kedudukan beliau sebagai pemimpin utama parti paling rapat dan disayangi penjajah British, Datuk Onn diharap dapat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penjajah itu.

Banyak pihak beranggapan sikap, pendirian dan tindakan penjajah ketika itu dijangka tidak sekeras apa yang berlaku sekiranya Umno tidak �mendiamkan diri� dalam menangani kes tersebut.

Peranan Umno hanya muncul selepas tragedi berakhir. Umno hanya cuba memulihkan imej dan reputasi sebagai parti berkuasa di negara selepas Natrah sah dikembalikan kepada ibubapanya. Datuk Onn sendiri dicatatkan menyertai sepuluh pemimpin Islam menemui Gabenor Singapura untuk mendesak agar Natrah dikembalikan kepada Aminah.

Hanya selepas tragedi selesai juga, Kapten Hussein Onn selaku Setiausaha Agung Umno muncul mengarahkan ahli-ahli parti itu menyumbang kepada Tabung Rayuan Natrah.

Tidak dinafikan Umno memainkan peranan penting dalam merayu dan membela sekumpulan umat Islam yang ditahan ekoran kejadian itu. Mereka yang pada awalnya dijatuhi hukuman mati dan penjara, akhirnya dibebaskan.

Tunku Abdul Rahman yang mengambilalih jawatan Presiden Umno daripada Datuk Onn dalam satu catatannya mendakwa pembebasan mereka itu adalah hasil usaha pihak partinya.

"Semasa saya mengambil alih kepiminan Umno, saya telah bertindak dan menyuruh David Marshall membela nasib mereka yang terlibat. Kami berusaha bersungguh-sungguh dan berhempas pulas supaya hukuman mati dikurangkan kepada penjara seumur hidup.... Setelah 13 tahun dalam penjara, mereka dibebaskan," coret Tunku pada 1988.

Ya, tanpa hipokrasi kita boleh mengakui peranan dimainkan Umno itu. Namun apa yang dikesalkan ia hanya dibuat setelah selesai tragedi tersebut. Sepertimana disebutkan tadi, harapan agak tinggi diletakkan kepada pemimpin Umno sedari awal konflik tercetus.

Dengan pengaruh yang dimiliki parti itu, dijangkakan kesudahan kes tersebut tentu tidak seteruk apa yang berlaku sekiranya Umno mengambil peranan serius dalam membela Natrah. Malangnya hal itu tidak berlaku.

Pembelaan selepas itu hanya terhadap mereka yang menjadi mangsa konflik. Umno berjaya menyelematkan beberapa nyawa dari hukuman mati. Itu kita boleh ucap tahniah dan terimakasih.

Namun perlu diingat, dalam tragedi Natrah, perkara utama yang menjadi pendorong konflik berdarah itu ialah soal akidah anak kecil itu. Umat Islam sanggup berkorban nyawa bukan kerana menyelamat diri mereka dari ditangkap dan dihukum, tetapi kerana mempertahankan kesucian akidah seorang budak yang dipaksa murtad.

Itulah fakta dan hakikat yang cuba dikelirukan Umno, hanya semata-mata bagi mengelakkan ia dipandang tidak memperjuangkan Islam.


Sejarah telah disiarkan oleh Harakah pada Jul 12, 2009

Related Posts with Thumbnails