SELAYANG – Mesyuarat UMNO Bahagian Selayang kali Ke-22 yang bersidang semalam mengusulkan desakan agar penghapusan subsidi berjumlah RM74 bilion bagi 2009 dilakukan dengan cara terpilih dan berjadual.
Penghapusan subsidi berkenaan terutamanya bagi sektor pendidikan dan kesihatan (RM42.4 billion), minyak dan tenaga (RM23.5 billion) serta infrastruktur (RM4.8 billion).
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Selayang, Azman Yusof berkata, usul dibentangkan dengan harapan supaya kesan penghapusan subsidi tidak menyebabkan bebanan kepada masyarakat akibat kos sara hidup yang meningkat secara mendadak ketika ini.
Katanya, ia juga akan menyebabkan berlakunya inflasi disebabkan kenaikan harga barang keperluan lebih tinggi dari kenaikan pendapatan seisi rumah.
"Yang paling teruk terjejas adalah orang Melayu atau Bumiputera yang berpendapatan seisi rumah lebih rendah berbanding kaum lain iaitu RM2,722 sebulan, berbanding Cina RM4,435 sebulan dan India RM3,456 sebulan.
"Kita juga mendesak agak takrif syarikat Bumiputera dikekalkan dan pengagihan projek atau kontrak untuk orang Melayu atau Bumiputera diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan usul politik dan ekonomi bagi mewakili UMNO Bahagian Selayang dalam mesyuarat perwakilan berkenaan yang berlangsung di Kelab Golf Perangsang Templer, di sini.
Dalam pada itu, pihaknya juga menggesa supaya Model Ekonomi Baru (MEB) perlu bagi menjamin kepentingan Bumiputera.
Menurutnya, gesaan ini bagi menjamin kepentingan peniaga dan kontraktor Melayu dan Bumiputera serta mensasarkan pegangan 30 peratus harta dan ekuiti serta penglibatan dalam sektor ekonomi diteruskan.
"Dasar pegangan harta 30 peratus dan ekuiti Melayu atau Bumiputera hendaklah ditambah kepada 50 peratus menjelang 2020 dan ini perlu diperjelaskan melalui konsep 1Malaysia.
"Kami juga ingin mendesak agar kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus ruang dan peluang perniagaan diperuntukkan untuk orang Melayu atau Bumiputera, terutamanya dalam syarikat gergasi seperti Tesco, Giant, Carrefour, Air Asia, Berjaya Group dan GLC," katanya.
Terdahulu, dalam usul yang sama, orang Melayu dan Bumiputera di negeri ini dikatakan masih jauh ketinggalan daripada segi ekonomi, pendidikan, pemilikan harta dan ekuiti.
Katanya, untuk itu pihak kerajaan hendaklah membentuk dan menambah nilai serta melaksanakan dasar-dasar baru yang dapat memperkukuhkan orang-orang Melayu dan Bumiputera terutamanya dalam sektor ekonomi.
Usul ini dipersetujui semua perwakilan yang hadir pada mesyuarat itu.