Ahad, 27 Jun 2010

Jamil Khir: Wahabi tidak boleh dikait dengan pengganas atau ekstremis

KUALA LUMPUR — Fahaman Wahabi tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan pengganas atau golongan pelampau kerana perbuatan keganasan bukannya berpunca daripada fahaman agama sesuatu kelompok tetapi ekoran penyelewengan fahaman serta pelbagai punca yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata apabila kefahaman terseleweng, mereka mengambil pendekatan yang berbeza daripada orang lain sehingga ada yang sanggup membunuh orang awam dengan bom dan sebagainya.

“Akibat terpesong daripada landasan Islam sebenar, maka berlakulah kejadian orang ramai yang tidak bersalah dibunuh dan dibom,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan Huffaz Kebangsaan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan sentiasa memantau keadaan supaya tidak berlaku penyelewengan ajaran Islam kerana ia boleh merugikan negara dan masyarakat.

Oleh itu, katanya orang ramai jangan menuduh mana-mana pihak sebagai pengganas atau golongan pelampau melainkan telah dinyatakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai 40 ulama muda menganggotai Umno beliau berkata ia dapat membantu kerajaan menterjemahkan dan melaksanakan pengertian 1 Malaysia kepada masyarakat.

Katanya ia juga dapat mengikis pandangan pihak tertentu yang selama ini menganggap ulama tidak mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Jumaat lepas 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

~Bernama
Related Posts with Thumbnails