Isnin, 28 Jun 2010

Industri perikanan negara rugi RM1 bilion

KUALA LUMPUR 28 Jun - Industri perikanan negara mengalami kerugian sekitar RM1 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom.

Beliau berkata, walaupun jumlah kerugian sebenar akibat tindakan itu tidak diketahui dengan tepat, jumlah yang dinyatakan adalah berdasarkan rekod dan pemerhatian Jabatan Perikanan serta laporan daripada nelayan tempatan.

Bagi mengatasi isu pencerobohan nelayan asing yang merugikan negara, kerajaan mempertingkatkan pengawasan di laut dan udara dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan maritim negara, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai jumlah kerugian yang dialami industri pertanian negara akibat penangkapan ikan secara haram daripada kapal nelayan asing yang tidak berdaftar.

Mohd. Johari berkata, selain operasi bersama melibatkan agensi penguatkuasaan yang dijalankan empat kali setahun, kementerian juga bekerjasama dengan pihak yang mengendalikan pelantar minyak dan nelayan tempatan untuk mendapatkan maklumat mengenai penglihatan dan pencerobohan kapal nelayan asing.

- Bernama
Related Posts with Thumbnails