SHAH ALAM, 26 Jun – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak meluluskan lesen judi sukan kepada Ascot Sports, syarikat milik jutawan Tan Sri Vincent Tan, sebagai “sandiwara politik” untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
Menurut Naib Presidennya, Mustafa Kamil Ayub, terlalu banyak maklumat yang diterima sebelum ini membayangkan bahawa lesen judi sukan itu seakan-akan sudah diluluskan.
“Beberapa maklumat yang diterima sebelum ini membayangkan bahawa lesen judi sukan ini sudah diberikan kepada Ascot Sports.
“Sebagai contoh Dr Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) sebelum ini membantah kelulusan itu seolah-olah lesen itu sudah ada, malah ada yang kata supaya jangan memperbaharuinya.
“Jadi selagi Perdana Menteri belum memberikan penjelasan kita terima bahawa lesen itu sudah diluluskan,” katanya kepada The Malaysian Insider di sini malam ini.
Lewat malam tadi, kerajaan dalam tindakan drastik yang mengejutkan banyak pihak memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen sukan judi kepada Ascot Sports.
Keputusan itu diumumkan oleh Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu syarikat itu telah dimaklumkan mengenai keputusan itu.
“Ascot Sports telah dimaklumkan mengenai keputusan ini, mereka maklum keputusan ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bila keputusan itu dibuat.
Mustafa berkata selagi Najib tidak membuktikan bahawa lesen judi sukan itu benar-benar tidak diluluskan parti itu akan terus mendesaknya.
“Selagi Najib tidak membuat penjelasan kita akan terus desak.
“Kita mahu beliau membuktikan bahawa lesen tersebut benar-benar tidak dikeluarkan,” katanya.
Seorang lagi Naib Presiden Azmin Ali berkata jika ia hanya “sandiwara” maka kerajaan Umno-BN akan dihukum pada pilihan raya umum akan datang.
“Jangan merendahkan desakan dan gesaan rakyat dalam perkara ini.
“Kita serius bukan hanya orang Islam tetapi orang bukan Islan juga menentang keras kelulusan lesen judi sukan ini.
“Ini bukan cara untuk Malaysia maju ke depan dalam bidang ekonomi, ini adalah cara yang agak ketinggalan,” katanya ketika ditemui pada sesi pemukiman PKR dekat sini.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fariz Musa berkata tindakan tidak mengeluarkan lesen judi sukan itu mungkin bersifat sementara dan kemungkinan ia akan dibangkitkan semula sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
“Ini hanya sandiwara yang dibuat kerajaan BN untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan tidak meluluskan lesen judi sukan itu.
“Mungkin selepas ini ia akan dibangkitkan semula sekiranya BN masih memerintah negara selepas pilihan raya umum nanti.
“Nampaknya kerajaan sengaja mahu bermain politik dengan rakyat,” katanya.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata keputusan tidak meluluskan lesen judi sukan itu mungkin disebabkan kedatangan ulama yang hadir sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Najib.
“Saya difahamkan bahawa semalam seramai 40 ulama datang berjumpa Najib untuk menyerahkan borang keanggotaan Umno, jadi mungkin sebab itu beliau membuat keputusan untuk tidak meluluskan lesen judi sukan itu.
“Keputusan itu hanya sementara sahaja kerana ingin menjaga imej beliau dan mungkin perkara ini akan dibangkitkan semula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata status sebenar lesen judi sukan tersebut masih menjadi tanda tanya memandangkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya Kabinet.
“Statusnya masih jadi tanda tanya kerana keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen judi sukan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bukan dalam Kabinet.
“Jadi selagi keputusan itu tidak dibuat dalam Kabinet, maka statusnya masih belum pasti lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Bernama memetik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, PKR menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan di negara ini.
Kata beliau, berkata keputusan itu menunjukkan kerajaan sekarang mendengar pandangan rakyat.
“Baguslah langkah kerajaan dengar saranan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.
The Malaysian Insider