KOTA BHARU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya kini berusaha mendekatkan diri dengan golongan ulama muda di negeri ini dan berusaha menarik mereka menyertai UMNO.
Mustapa berkata, senario yang berlaku jelas menunjukkan ulama muda kini tidak lagi melihat Pas sebagai wadah perjuangan kelangsungan politik mereka dalam membawa Islam ke tempat sewajarnya.
"Kita akan dekatkan diri dengan ulama ini dan pelajar yang baru pulang dari Timur Tengah. Kemasukan mereka ke dalam UMNO adalah sangat penting kerana ulama muda ini ada pengaruhnya yang tersendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di sini, semalam.
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, berdasarkan situasi kini, lebih ramai golongan ulama akan menyertai UMNO tidak lama lagi.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya kini mula mengatur strategi khusus memperkukuh kekuatan parti bagi mencapai matlamat kembali menguasai Kelantan dan merampasnya daripada Pas.
Katanya, apa yang paling membanggakan ialah semangat dan kejituan dalam kalangan anggota UMNO kini berada di tahap terbaik dan mereka begitu bersemangat untuk merealisasikan hasrat tersebut.