Ahad, 27 Jun 2010

Shahrizat: Masalah remaja mengandung ‘cukup membimbangkan’

MUAR, 26 Jun – Institusi keluarga digesa memainkan peranan penting membantu kerajaan bagi membendung masalah remaja bawah umur mengandung yang kian meningkat kebelakangan ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk menangani gejala itu, sebaliknya perlu bersama-sama memikul tanggungjawab tersebut.

“Masalah ini cukup membimbangkan dan ia boleh memberi kesan yang menyeluruh kepada institusi keluarga jika tidak ditangani” katanya kapada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Muar di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong bahawa sebanyak 111 kes remaja mengandung dilaporkan sehingga April tahun ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno menyeru ibu bapa supaya bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mengatasi gejala sosial tersebut.

Katanya, statistik menunjukkan sebanyak 131 kes remaja mengandung berlaku tahun lepas berbanding 107 kes pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata kerajaan memandang berat masalah itu namun Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mampu memeriksa setiap isi rumah di negara ini kerana tenaga kerja agensi itu terhad.

~Bernama
Related Posts with Thumbnails