Jumaat, 2 Julai 2010
Ali Rustam Mai Tengok Sampah dibiar bertimbun
Berita Harian 2 Julai 2010
Penghuni Taman Mewah Kelemak hidu busuk setiap hari
ALOR GAJAH: Lebih 100 keluarga di kawasan rumah pangsa Taman Mewah Kelemak, dekat sini, mendakwa hidup dalam keadaan tertekan kerana terpaksa menghidu bau busuk dan meloyakan, selepas sampah bertimbun di situ tidak dikutip pihak berwajib sejak beberapa minggu lalu.
Mereka mendakwa, keadaan sampah yang tidak diselenggarakan dengan sempurna itu juga menyebabkan penghuni hidup dalam keadaan tidak selesa. Selain itu, mereka turut mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa terbabit, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian, malah sampah tetap terus berlonggok di situ.
Seorang penduduk, Khairul Izwan Salim, 30, berkata pihak berkuasa terbabit seharusnya peka dengan situasi di situ dan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan mengatasi masalah itu tanpa perlu menunggu aduan penduduk.
“Kerja mengutip sampah juga saya dapati tidak dilakukan secara menyeluruh hingga menyebabkan sampah tidak semuanya dipungut dan baki yang ada sudah berminggu tidak dibersihkan.
“Kesannya, selain bau busuk dan meloyakan, ada kalanya pakaian yang dijemur penduduk dihinggap lalat.
“Kami tidak tahu lagi apa nak buat kerana apa yang saya lihat, kadang-kadang sampai terbiar berlonggok ini dalam keadaan berulat dan amat menjijikkan,” katanya ketika ditemui di sini.
Berita Harian berkejar ke kawasan taman ini selepas menerima beberapa aduan penduduk, baru-baru ini yang kesal dan tidak berpuas hati dengan kegagalan pihak terbabit membersihkan sampah di situ.
Mereka mendakwa masalah itu sudah lama berlaku dan banyak aduan dibuat mengenainya namun tidak ada perubahan.
Tinjauan Berita Harian mendapati, selain sampah buangan, tilam dan perabot lama turut dibuang di luar tong sampah sehingga menjejaskan pemandangan kediaman yang terletak berhampiran laluan orang ramai dan gerai makan.
Selain itu, sistem perparitan dan longkang di taman perumahan itu, turut dijadikan tempat membuang sampah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, sekali gus membuatkan persekitaran kotor dan berbau busuk.
Situasi sebegini secara tidak langsung pasti akan mengundang penyakit.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim, 40, berkata keadaan sampah yang berlonggok itu juga menyebabkan kawasan kediaman mereka menjadi terlalu kotor dan sekali gus tidak menyelerakan untuk makan.
“Walaupun kerja mengutip sampah dilakukan tetapi masing-masing dikatakan mengambil mudah kerja berkenaan dan hanya mengutipnya separuh, manakala selebihnya dibiarkan begitu saja.
“Kerja yang tidak menyeluruh ini adalah punca longgokan sampah semakin banyak dan menjadi tumpuan anjing liar mencari makanan,” katanya.
~BeritaHarian
Labels:
Kenyataan Akhbar