Ketegasan pimpinan PAS menolak pelawaan politik Umno yang memperalat isu  perpaduan Melayu mahupun perpaduan dan kesucian Islam, disambut baik  badan bukan kerajaan (NGO) berteras Islam mahupun pemimpin bukan Melayu.
Abdul  Ghani Shamsuddin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia  (SHURA) dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang memuji pimpinan PAS yang tidak  bertolak ansur dengan parti pemerintah.
Kebelakangan ini, ketika  angin pilihan raya umum ke-13 mula bertiup, pelbagai usaha bagi menjalin  kerjasama Umno dengan Pas dihidupkan semula biarpun isu ini sudah lama  berakhir.
Selepas Barisan Nasional gagal mengembalikan sokongan  bukan Melayu sejak pilihan raya umum lalu,  Umno cuba memancing PAS bagi  memastikan undi Melayu tidak berpindah tangan.
Kagum dengan  penyataan pimpinan PAS, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Perdana  Menteri Satu Malaysia itu cuba menakut-nakutkan orang Melayu-Islam  supaya mendorong kepada kerjasama politik.
"Saya rasa pendirian  yang diambil oleh pemimpin PAS adalah waras dan munasabah. Tapi yang  penting kenapa sekarang, ada usaha mahu menakutkan orang Melayu bahawa  mereka akan hilang kuasa.
"Walhal, ini tidak berasas. Semacam ada  satu kempen yang hendak menakutkan orang Melayu," kata Ahli Parlimen  Ipoh Timur itu kepada TV Selangor, hari ini.
Lebih-lebih  lagi, Datuk Seri Najib Razak dilihat gagal meraih sokongan bukan Melayu,  menyebabkan Umno terpaksa kembali bergantung kepada undi Melayu.
Kini,  Umno BN terpaksa mengkhianati semangat satu Malaysia semata-mata mahu  merebut sokongan pengundi Melayu yang dilihat lebih memihak kepada PAS.
"Kenyataan  yang selalu diulang pemimpian Umno dan ejen mereka mencadangkan bahawa  harus ada perpaduan orang Melayu. Ini menimbulkan persoalan, di mana  letaknya 1Malaysia yang dilaungkan Najib?
Kalau 1malaysia  bertujuan untuk menyatukan rakyat Malaysia. Nampaknya, ini tidak selaras  dengan 1Malaysia," katanya dan menambah pelakuan pimpinan Umno BN  semata-mata agenda politik.
Abdul Ghani Shamsuddin, Pengerusi  SHURA menganggap percantuman Umno-Pas tidak akan berlaku kerana parti  pemerintah itu banyak melakukan khianat kepada orang Melayu mahupun  kesucian Islam.
"Dalam konteks politik Pas sudah punya pakatannya  sendiri untuk menentang kemungkaran dan kezaliman Barisan Nasional  serta segala salah laku, pengkhianatan terhadap hak orang Islam dan  Melayu. Rasuah, korupsi dan sebagainya.
"Ini sudah pasti dalam  konteks demokrasi tidak dapat dicantumkan bagaimana pembangkang dapat  disamakan dengan orang yang melakukan kezaliman. Yang berkuasa setiap  hari menyingkirkan mereka dan menindas mereka (PAS)?" katanya.
Beliau  percaya PAS tidak akan berkompromi dengan Umno sekali parti berlambang  keris itu terus-terusan bergelumang dengan dosa tanpa rasa insaf.
Selama ini, dosa penindasan Umno terhadap PAS terlalu pedih untuk ditelan pimpinan dan penyokong parti berkenaan.
Umno sedari dahulu menzalimi PAS, dari Tragedi Memali dan kini dilabel pula parti sesat.
"Bagaimana  kita boleh bersetuju dengan orang yang melakukan kejahatan? Melainkan  dia bertaubat dan menyatakan dia tak mahu lagi dan buktikan tidak  lakukan kejahatan, barulah kita boleh bersetuju," kata Ghani.



