Sinar Harian  |  KUALA LINGGI - Sebahagian anggota  Relawan Ikatan Rakyat Malaysia (Rela) di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Linggi yang bertugas pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 lalu,  mendakwa kecewa kerana belum menerima elaun yang dijanjikan.
Mereka  yang bertugas di Kompleks Perahu Layar, Pengkalan Balak ditugaskan  untuk mengawal keselamatan pada kejohanan itu dengan elaun yang  dijanjikan sebanyak RM100 sehari untuk seorang.
Bagaimanapun,  selepas lebih sebulan berlalu, belum ada tanda akan menerima elaun  berjumlah RM1,400 bagi tugasan yang dilakukan sepanjang dua minggu itu  menyebabkan mereka beranggapan seolah-olah ditipu.
Seorang  anggota, Mohd Rizal Haiber, 32, berkata dia dimaklumkan pengurusan Rela  bahawa sepanjang kejohanan itu, dua anggota Rela ditugaskan untuk  mengawal keselamatan dengan bayaran elaun sebanyak RM100 sehari.
“Kami  tak kisah dia nak bayar berapa pun, tetapi mengikut perjanjian awal  mereka setuju nak bayar RM100 seorang sehari kepada dua petugas Rela  bagi mengawal keluar masuk serta menjaga tahap keselamatan sentiasa  berada di dalam tahap memuaskan setiap masa," katanya.
Namun, menurutnya, empat lagi anggota Rela kemudian ditugaskan di tempat itu kerana mahu meningkatkan lagi tahap keselamatan.
“Selang  beberapa hari sebelum kejohanan bermula, mereka menambah empat lagi  anggota Rela menjadikan keseluruhan anggota semuanya enam orang dengan  alasan perlukan anggota yang ramai untuk temasya sebenar.
“Kami  semua berharap imbuhan atau elaun yang diberi sekurang - kurangnya dapat  mengurangkan beban dan menampung kehidupan kami yang sudah berkeluarga  hingga sanggup menanggung risiko semasa menjalankan tugas," katanya  kepada Sinar Harian, di sini.
Sehubungan itu, Mohd Rizal membuat  laporan polis berhubung masalah itu dan meminta pihak terbabit memandang  perkara itu dengan serius.
Seorang lagi anggota Rela, Esa Goh  Abdullah, 58, berkata tindakan pihak berkenaan melambat-lambatkan  pembayaran elaun yang sepatutnya dilunaskan sebaik saja temasya Sukma  berakhir adalah tidak wajar.
“Sepanjang kejohanan itu kami  terpaksa menerima 'habuan' berupa maki hamun dari pegawai atasan dan  juga golongan berpangkat yang tidak dikenali disebabkan masalah kecil  sehingga ia menimbulkan salah faham antara kami.
“Apabila kami  tanya mengenai elaun kepada pihak berkenaan, mereka kata borang tuntutan  elaun belum diterima lagi. Kemudian mereka suruh tunggu minggu hadapan,  begitulah seterusnya.
"Persoalannya sekarang sampai bila kami semua harus menunggu," katanya.
Di turut menyifatkan tindakan pihak berkenaan melambat-lambatkan pembayaran elaun seperti dijanjikan hanya memburukkan keadaan.
“Kami  harap ia diselesaikan secepat mungkin. Walaupun jumlah dituntut tidak  sebesar mana, tetapi hak kami siapa hendak pertahankan,” katanya.



