Harakahdaily   | KUALA LUMPUR, 28 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah  Persekutuan (DPPWP) berpandangan sepatutnya semua pegawai kerajaan  dibenarkan aktif berpolitik tanpa kawalan yang ketat.
Justeru,  ketua penerangannya, Fadhil Osman berpendapat kebenaran kerajaan  terhadap pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48  untuk terlibat politik adalah permulaan yang baik namun ia belum  memadai.
Katanya, kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd  Sidek Hassan semalam bahawa kerajaan membenarkan pegawai siswazah untuk  aktif dalam politik sebenarnya adalah tindakan yang agak lambat bagi  sebuah negara membangun seperti Malaysia.
Sepatutnya, kata beliau  pegawai kerajaan telah lama diberi kebenaran untuk aktif berpolitik dan  memegang mana-mana jawatan politik sebagaimana yang diamalkan oleh  negara-negara maju.
“Hak mengundi dan memilih parti politik mana  yang mereka sukai adalah hak individu sejak mereka berusia 21 tahun. Ini  adalah hak rakyat Malaysia yang kerajaan tidak boleh nafikan,” ujarnya  dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily
Beliau menambah, berpolitik bukanlah suatu jenayah dan ia tidak menyekat keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.
Menurutnya, menyertai parti-parti politik adalah amalan biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi sihat seperti Malaysia.
Baginya,  berpolitik boleh menyuburkan sifat kepemimpinan, sensitif serta peka  terhadap isu dan meningkatkan semangat berorganisasi dikalangan  pekerja-pekerja.
“Menyertai parti politik tidak akan menjejaskan  prestasi kerja dan menimbulkan sikap ekstrem terhadap masyarakat  Malaysia,” ujarnya lagi.
Katanya, DPPWP merasakan tindakan untuk  meminta kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian  Pelajaran terlebih dahulu adalah suatu tindakan yang tidak wajar.
“Kebenaran ini seolah-olah menyukarkan pegawai kerajaan kerana harus melalui pelbagai peringkat birokrasi,” katanya.
Beliau mempersoalkan bagaimana sekiranya surat permohonan kebenaran pegawai-pegawai kerajaan untuk berpolitik tidak diluluskan.
“Apakah jaminan kerajaan sekiranya permohonan ini ramainya yang datang dari pegawai yang menyokong Pakatan Rakyat?” soalnya.
Justeru, katanya kerajaan tidak perlu meletakkan apa-apa prasyarat pegawai kerajaan menyertai parti politik.
Tambahnya,  tindakan boleh diambil sekiranya pegawai tersebut mengabaikan tugasnya  namun bukan menyekat rakyat dari menyertai mana-mana parti politik.



