Sabtu, 31 Julai 2010

Federalisme, perpaduan Melayu, pendakwaan Liong Sik

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menggesa kerajaan persekutuan supaya menghormati kuasa yang ada pada kerajaan negeri masing-masing, dan tidak menganak-tirikan kerajaan negeri yang tidak diterajui oleh BN dari pelbagai sudut dan aspek pentadbiran.

"Dalam isu Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang yang dilantik oleh Kerajaan Pusat, sepatutnya hak kerajaan negeri dalam mentabdir negeri dihormati. Kerajaan persekutuan sepatutnya menghormati kerajaan negeri yang memerintah. Begitu juga dengan Pegawai Kemajuan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan siapa sahaja penjawat awam yang berada di bawah tampuk pemerintahan kerajaan negeri."

"Apabila penghormatan ini tidak wujud maka berlakulah konflik sebagaimana yang terjadi kini di Pulau Pinang apabila kerajaan persekutuan mencampuri hal-ehwal Kerajaan Negeri secara terang-terangan," kata Yusmadi Yusoff di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai, semalam, berdepan dengan kira-kira 500 orang hadirin.

Yusmadi yang juga merupakan seorang peguam berkata, sebagai sebuah kerajaan persekutuan, dasar yang ada pada kerajaan negeri tidak harus dinodai dan disabotaj dengan memperalatkan penjawat awam yang dilantik oleh kerajaan persekutuan bagi menggagalkan apa jua dasar dan sistem yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang diperintah oleh PR.

"Dalam isu pasir di Pulau Pinang, sudah ketara bagaimana kerajaan persekutuan cuba menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau."

"Walaupun mereka sedar ini adalah projek mereka dan berada di atas tanah milik kerajaan persekutuan, tetapi mereka cuba memainkan isu dengan menuding jari ke arah kerajaan negeri semata-mata untuk mengaburi mata rakyat dan mencelarukan pemikiran mereka," ulas Yusmadi (gambar kanan).

"Namun begitu saya yakin semakin banyak keburukan yang BN timbulkan maka bertambah hilang keyakinan rakyat kepada mereka untuk terus menjadi pemerintah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang."

Pendakwaan Liong Sik tidak bawa makna

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan BN sudah berada dalam keadaan tenat dan nazak apabila pelbagai masalah sedang melanda parti pemerintah tersebut.

Beliau juga berkata, pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik tidak membawa apa-apa makna kepada PR.

"SPRM boleh menangkap siapa sahaja yang mereka mahu dan dibawa ke mahkamah, namun begitu belum pasti keadilan akan tercapai berdasarkan sejarah lampau yang pernah terjadi kepada mendiang Eric Chia."

"Selain daripada itu kebebasan yang tidak ada pada kebanyakan sistem perundangan dalam negara yang dikuasai oleh BN dan pemerintah menjadikan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan dalam setiap tindakan yang mereka ambil," kata Firdaus Jaafar.

Menurut Firdaus lagi, dalam tempoh 50 tahun pemerintahan BN dalam negara, gaji minima bagi rakyat negara ini masih jauh begitu rendah jika dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand.

"Berleluasanya kegiatan rasuah dan korup, penindasan terhadap rakyat serta kenaikan harga barangan menjadikan kerajaan sukar untuk memberi khidmat yang terbaik bagi membela nasib rakyat."

"BN sudah muflis apabila mereka terpaksa mengenakan pelbagai jenis cukai terhadap rakyat. Kenaikan harga barangan semakin lama semakin membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah," tambahnya lagi.

Firdaus Jaafar (gambar kanan) juga menyentuh isu penyatuan PAS dengan UMNO merupakan suatu perkara yang terpaksa dilakukan oleh UMNO dalam suasana yang terdesak apabila mereka sudah merasai keyakinan rakyat terhadap mereka semakin terhakis.

Penyatuan UMNO-PAS

Manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Husam Musa melontarkan cabaran, agar penyatuan puak dalam UMNO dilakukan terlebih dahulu sebelum penyatuan PAS dan UMNO dilaksanakan.

"Dalam UMNO Terengganu sendiri kita dapat lihat bagaimana ada puak Menteri Besar, Ahmad Said dan puak bekas Menteri Besar, Idris Jusoh. Ini semua adalah krisis dalaman yang serius melibatkan orang Melayu dan parti UMNO."

"Oleh kerana itu perjuangan yang hanya berlabelkan bangsa ini tidak akan membawa penyatuan. Sebaliknya membawa kepada kemusnahan yang tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada sistem pemerintahan negara. Oleh kerana itu sebelum UMNO melaksanakan pelan penyatuan dengan PAS maka adalah terlebih baik bagi mereka membetulkan saf dalam UMNO terlebih dahulu," katanya lagi.

Husam (gambar kanan) yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan juga berkata, PAS mempunyai peluang yang lebih baik untuk memerintah negara dan sekaligus membawa PR ke Putrajaya apabila perjuangan PAS yang mengutamakan Islam itu adalah untuk semua golongan masyarakat yang ada dalam negara.

"Melalui Islam, orang Melayu, Cina, India dan semua keturunan yang ada akan bersatu. Jika bangsa dan perkauman yang diperjuangkan maka ia akan membawa kepada perpecahan yang hanya memperjuangkan hak bangsa masing-masing tanpa memberi keadilan kepada bangsa dan kumpulan masyarakat yang lain."

"Di bawah pemerintahan kerajaan BN yang ada sekarang skandal yang merugikan wang rakyat seperti PKFZ, Sime Darby, Pos Malaysia, FELDA dan pelbagai lagi memberi imej buruk kepada sistem pemerintahan yang ada pada BN. Mereka sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan pemerintahan yang terbaik kerana jangka masa 50 tahun yang diberikan kepada mereka hampir lupus menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS II Pulau Pinang, Rosidi Hussain dan Yang Dipertua PAS kawasan Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man.

*Nazar Hashim ialah penulis khas untuk MerdekaReview.

Related Posts with Thumbnails