Selasa, 27 Julai 2010

Sinar Keadilan kembali di pasaran

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Selepas dua keluaran tidak berkala, 'Sinar Keadilan' pula diterbitkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK)sebagai memenuhi kehendak rakyat yang dahagakan maklumat terkini mengenai aktiviti serta ulasan isu terkini yang mempunyai kepentingan parti, rakyat dan negara.

Edisi ketiga tidak berkala berjudul 'Sinar Keadilan' diterbitkan selepas 'Obor Keadilan' yang memaparkan isu Petronas diperah diterbitkan sebelum ini.

Lidah rasmi parti terbitan AMK dicetak dan diedarkan ke seluruh negara khusus untuk ahli parti mengikuti perkembangan semasa politik negara.

Tajuk utama yang menghiasi mukadepannya, 'Projek Mencurigakan...RM12 Ribu Juta Untuk JPM' mendedahkan di sebalik tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional memotong subsidi dan menaikkan harga barangan asas seperti petol dan gula, kerajaan Umno-BN tidak terpanggil pula untuk menjelaskan kenapa lebih RM12 bilion ringgit diperuntukkan hanya untuk menguruskan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tahun ini sahaja.

Peruntukan tersebut menurut artikel itu lagi merupakan bajet yang paling besar berbanding daripada bajet kebanyakkan kerajaan-kerajaan negeri.

Manakala di muka belakang akhbar itu pula memaparkan berita yang mempersoalkan reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membisu berhubung kegagalan projek yang dijalankan sebuah syarikat perikanan, Malaysian International Tuna Port (MITP) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ketika beliau menjadi Menteri Asas Tani.

Di bahagian berita bergambar turut dimuarkan liputan bergambar sekitar majlis memperingati pembantu politik Exco Selangor, kematian misteri Teoh Beng Hock ketika disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tahun lepas serta samseng upahan Umno yang berdemontrasi di depan pintu pagar Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu pasir.

Akhbar 24 mukasurat itu dijangka memenuhi hasrat parti untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai aktiviti serta ulasan isu terkini yang mempunyai kepentingan parti, rakyat dan negara.

Sementara itu, terbitan kedua akhbar tidak berkala itu berjudul 'Obor Keadilan' telah dirampas di sekitar kawasan Lembah Kelang oleh beberapa pegawai KDN yang seterusnya melarang pekedai menjual akhbar berkenaan.

Tindakan merampas dan mengugut oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri terhadap pengedar lidah rasmi KEADILAN yang kini diterbitkan secara tidak berkala membuktikan bahawa Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional tidak ubah seperti semasa negara di zaman penjajah.

Dalam pada itu, pegawai polis, ASP Rejali ak Angong dari Ibupejabat Polis Putrajaya meminta Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Pelita Koridor Sdn Bhd, Rohani Abd Rahman menghadirkan diri bagi memberi keterangan berhubung surat tunjuk sebab berhubung isu Felda terbitan Suara Keadilan yang diserahkan pihak Kementerian Dalam Negeri pada 2 Julai lepas kepada Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib.

Pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap parti dan pemimpinnya sekiranya KEADILAN berkeras untuk menerbitkan lidah rasmi yang telah digantung itu.


Related Posts with Thumbnails