Bekas  menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah mengecam Menteri  Perdagangan  Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed kerana tidak   memberitahu perkara yang sebenar berhubung sebab utama tentang   kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus pada 2009.
"Beliau tidak bercakap benar, berpusing-pusing beri alasan remeh," katanya kepada Malaysiakini di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar hari ini.
  Razaleigh mengulas alasan menteri itu bahawa Malaysia hanya berjaya   menarik FDI sangat sedikit berbanding ekonomi negara jiran kerana ia   melibatkan skala pembangunan pada tahap berbeza, justeru tidak boleh   menarik pelaburan infrastuktur.
Mustafa dilaporkan  berkata ini  kerana Malaysia tidak berminat menarik pelaburan dalam  sektor pulangan  rendah seperti yang melanda ekonomi kawasan lain.
Razaleigh  yang  juga ahli parlimen Guan Musang mengetepikan perkiraan bahawa  pelabur  tempatan lari ke luar negara kerana pasaran Malaysia sudah tepu.
  "Masalah sebenarnya ialah keyakinan (pelabur). Jika begitu, kenapa   syarikat seperti YTL buat stesen janakuasa di Singapura? Awak boleh   tanya mereka.
"Kita perlukan duit untuk bangunkan negara ini. FDI bukan hanya bawa duit tapi latihan dan kemahiran pembangunan," katanya.




