Sinar Harian | NYALAS, Melaka - Sekurang-kurangnya  tiga kawasan penempatan termasuk sebuah taman perumahan di sini menerima  kesan akibat aktiviti korek pasir yang sedang giat dijalankan  berdekatan.
Aktiviti kerja melombong di kawasan tanah  persendirian itu menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada penduduk berhampiran sejak  kira-kira dua tahun lalu apabila kawasan mereka sering dilanda banjir  lumpur.
Kawasan yang dikatakan menerima kesan adalah Kampung  Solok Melangkan, Kampung Air Repat dan Taman Permai hanya terletak  kira-kira 500 meter sahaja daripada kawasan lombong itu.
Penduduk mendakwa, akibat penempatan mereka agak rendah, ia memudahkan kawasan mereka dinaiki air.
Penduduk,  Hashim Saring, 44, berkata kerja-kerja mengorek pasir itu dijalankan di  kawasan pedalaman dan tinggi, memberi kesan kepada penduduk di kawasan  rendah.
Menurutnya, kesan daripada kerja mencuci pasir, sungai  yang mengalir ke kawasan penempatan penduduk mendap, seterusnya menjadi  kotor.
“Jika dahulu, air sungai tidak mendap dan kotor seperti  ini, namun sejak aktiviti dijalankan, kesan sebegini menjadi ingauan  ngeri kami di sini,” katanya.
Menurutnya, lebih mengelirukan,  kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan itu sudah pun digazetkan  sebagai kawasan tadahan hujan, dan tidak seharusnya perkara sebegini  boleh berlaku.
Hashim berkata, pihaknya sudah memaklumkan di  dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pejabat  Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun)  Asahan mengenai masalah itu, namun belum ada sebarang tindakan susulan.
Pekebun  di Kampung Air Reput, Abd Rahman Dalip, 62, mendakwa keadaan sungai  berhampiran kebunnya semakin dipenuhi lumpur serta pasir sehingga  menyebabkan kadang-kala air sungai tidak dapat mengalir sempurna.
Bimbang  kejadian tidak diingini, dia mengambil insiatif sendiri dengan menggali  sungai terbabit membuang lumpur serta pasir yang menyebabkan sungai  berkenaan menjadi cetek.
“Berbanding dahulu, air sungai dapat  mengalir dengan baik dan kedalaman sungai adalah berada di paras  pinggang, namun sejak sekarang sungai ini mula kelihatan keruh dan  dipenuhi lumpur serta pasir.
“Apabila pasir dan lumpur terlalu  banyak di dalam sungai, saya mengambil langkah membersihkan sungai  berhampiran dusun kerana bimbang air akan melimpah ke dalam dusun,”  katanya.
Seorang penduduk, Md Tolah Sabudin, 72, pula berkata,  tanaman buah-buahannya banyak yang musnah akibat terlalu lama terendam  dalam sungai yang melimpah ke dalam kawasan kebunnya.
“Jika hujan  lebat, sungai pastinya akan melimpah dan bukan sahaja memasuki rumah  penduduk yang rendah, bahkan kebun buah-buahan serta kebun getah  penduduk dimasuki air.
“Dan apabila sudah dimasuki air, pastinya takungan itu mengambil masa untuk surut menyebabkan banyak pokok mati,” katanya.



