Press Release
SERAHAN SEMPADAN LAUT MALAYSIA KEPADA BRUNEI –  SAMAN AWAM WARGA NEGARA ( CITIZEN CIVIL SUIT ) KE ATAS KERAJAAN MALAYSIA
Kedaulatan  wilayah adalah penting untuk setiap negara. Sepanjang sejarah, banyak  perselisihan wilayah berlaku antara negara-negara yang telah  mengakibatkan perang. Pengasas negara Malaysia memberikan penghormatan  yang tinggi untuk melindungi wilayah kita dengan menyediakan peruntukan  dalam Artikel 1 dan 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi  negara ini. Berasaskan latarbelakang ini, pendedahan tentang urus  keluar wilayah Malaysia kepada Brunei adalah memeranjatkan.
Tidak  kira betapa berkuasanya seseorang Perdana Menteri itu, namun  Perlembagaan Persekutuan tidak sekali-kali membenarkan seseorang Perdana  Menteri Malaysia menyerahkan sesuatu wilayah Malaysia kepada negara  lain samada di daratan atau lautan.
Perbuatan demikian adalah sesuatu  yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Artikel 2  Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya dengan persetujuan  Parlimen melalui rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan oleh  Parlimen sahaja sempadan negara boleh diubah.
Bertolak dari  peristiwa penyerahan sempadan laut Malaysia kepada Brunei, kami menuntut  tindakan berikut ini dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd  Najib ;-
Mendedahkan kepada awam semua perhubungan antara  Putrajaya dan Brunei, Sabah, Sarawak dan Petronas sehingga berlakunya  penyerahan ini;
Pendedahan semua keputusan Kabinet mengenai perkara  ini atau ;
Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan telus  untuk menyiasat isu ini ;
Peristiwa penyerahan sempadan seperti  ini dak pernah berlaku dalam sejarah moden negara. Peristiwa penyerahan  pulau dan wilayah hanya berlaku sewaktu zaman penjajahan dulu kala dan  telah menjadi lipatan sejarah. Kenapa ia diulangi lagi seperti kita  sudah berdaulat?
Tindakan mengeluarkan sempadan negara, kemudian  mengeluarkannya tanpa mengikut tatacara berperlembagaan dan bersifat  unilateral dari Kerajaan Pusat, akan mengakibatkan terlalu banyak  implikasi kepada negara kita. Satu darinya ialah integriti dan kedudukan  Petronas sendiri sebagai badan multinasional yang terpaksa membatalkan  kontraknya dengan pihak lain yang akan menunjukkan kontrak-kontrak  dengan Petronas adalah tidak terjamin sekaligus akan melemahkan  Petronas.
Selepas satu tempoh yang memuaskan berlalu tanpa  sebarang tindakan seperti yang saya cadangkan di atas, saya mencadangkan  sebilangan rakyat Malaysia memfailkan saman awam warga negara Malaysia  (citizen civil suit) ke atas Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan  pengisytiharan penyerahan ini adalah tidak sah dan bertentangan dengan  kehendak Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti yang saya sebutkan.
Saya  berharap ahli-ahli Parlimen, para peguam, NGO, dan orang perseorangan  termasuk dari Sabah dan Sarawak, boleh bersama saya nanti memfailkan kes  ini di mahkamah.
Saya juga akan menulis surat kepada semua ADUN  Sabah dan Sarawak untuk mencadangkan kepada mereka agar menyatakan  pendirian mereka dalam isu ini dan memanggil satu sidang DUN khas untuk  membahaskan isu ini.
Sesiapa yang berasakan bertanggungjawab ke  atas keputusan-keputusan sewenang-wenangnya menggadai wilayah negara  ini, boleh menghubungi saya atau pembantu saya menerusi alamat emel  gadailautmalaysia@gmail.com.
YB Dato’ Haji Husam Haji Musa
20  Jamadilawal 1431
5 Mei 2010



