Oleh: HALIK  ZAMAN
MASALAH Limbang adalah  masalah Sarawak. Semenjak dulu lagi Limbang menjadi isu tuntutan Brunei  kepada Negeri Sarawak. Jika dilihat secara logiknya masalah tuntutan ini  tidak ada kena mengena dengan Sabah.
Rakyat Sabah begitu  terkeliru dengan situasi ini. Mengapa Sabah pula dibebankan dengan  masalah tuntutan ini, walhal sepatutnya Sarawaklah yang harus menanggung  segala risiko dan permasalahan ini?
Difahamkan satu  penyelesaian telah diambil oleh Kerajaan UMNO/BN bagi menyelesaikan  tuntutan Negara Brunei bahawa Kerajaan UMNO/BN terpaksa membenarkan  Kerajaan Brunei untuk menggali hasil minyak di kawasan Sabah di Blok L  dan Blok M untuk suatu tempoh yang agak lama, yakni selama 40 tahun.
Sepanjang  tempoh 40 tahun itu, sama ada Kerajaan Brunei dan Kerajaan Malaysia di  bolehkan untuk mengambil hasil minyak di kedua-dua blok berkenaan.
Difahamkan  juga, setelah tamat tempoh 40 tahun, kawasan cari-gali minyak ini akan  di miliki sepenuhnya oleh Kerajaan Brunei. Satu persoalan lain yang  timbul, Kerajaan Pusat tidak menyatakan di mana kedudukan sebenar lokasi  blok L dan blok M ini yang berada dalam kawasan Sabah.
Sekiranya  ianya benar-benar berlaku, maka Sabah akan mengalami kerugian sebanyak  RM16 billion dalam tempoh 40 tahun. Manakala Petronas pula dianggarkan  akan mengalami kerugian sebanyak RM120 billion dalam tempoh yang sama.
Seperkara  yang benar-benar menjadi kesalan di hati rakyat Sabah, mengapakah  masalah Sarawak ini, kawasan minyak Sabah harus dijadikan korban? Yang  hairan mengapa tidak pernah sekalipun Musa Aman membawa perkara ini ke  dalam Dewan Undangan Negeri untuk memohon kelulusan?
Minta  penjelasan dari Musa Aman Ketua Menteri Sabah untuk membenarkan perkara  ini berlaku tanpa dibincangkan ke Dewan Undangan Negeri Sabah, kalau  tidak pernah berlaku? Sila nafikan agar rakyat faham kedudukkan  sebenarnya. Kita tidak berniat menuduh, tapi kita berhak mendapat  penjelasan yang memuaskan.
Kalau benar perkara sebegini berlaku,  ini bukan sahaja merupakan satu subjek yang mengakibatkan kerugian  besar kepada negeri dan rakyat Sabah. Kalau di bandingkan kisah  penyerahan Labuan kepada Wilayah Persekutuan, Sabah tidak mendapat  kerugian apa-apa.
Seperkara yang pasti, penyerahan Pulau Labuan  kepada Wilayah Persekutuan, telah mendapat kelulusan dari Dewan Undangan  Negeri semasa zaman Datuk Harris Salleh. Ianya sama sekali tidak boleh  dijadikan asas perbandingan.
Kalau apa yang kita timbulkan ini  benar benar berlaku? Rakyat Sabah amat kesal mengapa perkara-perkara  sebegini tidak di berikan penjelasan sewajarnya dari Musa Aman sebagai  Ketua Menteri Sabah?
Rakyat Sabah juga amat kesal sekiranya  benar, mengapa hal-hal penting sebegini di sembunyikan akan kedudukan  perkara sebenarnya dari pengetahuan rakyat oleh Pak Lah? Pak Lah tidak  pula memberi tahu di mana kedudukkan Blok L dan Blok M sama ada di  kawasan perairan Sarawak atau Sabah?
~sabahkini




