Isnin, 3 Mei 2010

Ezam: Lantikan saya iktirafan PM, bukan ganjaran kecam Anwar

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 3 Mei — Ezam Mohd Noor yang mengangkat sumpah sebagai Senator hari ini melihat pelantikannya itu, muncul kurang dua tahun selepas kembali ke pangkuan Umno, sebagai pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Ini adalah pengiktirafan oleh Perdana Menteri untuk menerima perbezaan (pandangan), untuk memberi ruang kepada mereka seperti mahukan pembaharuan,” kata Ezam di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara, Ezam berkata, beliau percaya Najib serius dalam melakukan pembaharuan.

“Saya mahu bekerja dengan beliau untuk melakukan pembaharuan,” katanya yang sebelum ini menerajui badan bukan kerajaan bagi menjalin hubungan rakyat Indonesia dan Malaysia.

Mengenai spekulasi bahawa akan diberikan jawatan dalam kerajaan, Ezam berkata, itu bukan hasratnya.

“Ketika saya menjadi pemimpin pembangkang, saya hanya bertanding sekali pada 1999.

“Pada 2004, saya tidak tanding (pilihan raya umum) selepas saya mendedahkan dokumen-dokumen rasuah, jika saya sememangnya berhasrat mahu bertanding, saya sudah tentu tidak melakukan perkara itu.

“Tindakan saya tidak pernah disebabkan oleh langkah (kejar) jawatan,” katanya.

Berhubung soalan sama ada jawatan ini sebagai satu ganjaran kerana bertindak menentang Anwar sejak dua tahun lalu, Ezam berkata beliau mendedahkan penyelewengan sejak berada dalam PKR.

“Jika ada yang mengatakan saya dibayar kerana mendedahkan penyelewengan, Anwar sepatutnya menjadi orang pertama membayar saya.

“Mengapa tidak anda tanya berapa dia bayar untuk saya. Saya tidak melakukan ini hanya sekarang tetapi melakukan ini sejak memegang jawatan ketua Pemuda PKR,” katanya lagi.

Ezam meninggalkan PKR pada 2007 dan menyertai Umno selepas pilihan raya umum tahun berikutnya.

Sejak menyertai Umno, Ezam dilihat sebagai antara pemimpin PKR mengecam keras bekas bosnya.

Dalam pada itu Ezam juga berkata pelantikan beliau sebagai senator menjadi landasan terbaik bagi beliau untuk menerangkan kepada rakyat tentang anasir jahat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara.

“Saya merasakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan negara dan asas-asas negara ini daripada serangan-serangan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok pengkhianat dan pelampau dalam negara.

“Jadi saya akan ambil tanggungjawab ini sebab saya pernah jadi sebahagian daripada mereka untuk menerangkan kepada rakyat, terutama anak-anak muda bahawa ia sesuatu yang berbahaya kepada negara,” katanya.

Ezam mengangkat sumpah jawatan senator bersama-sama tiga yang lain di hadapan Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara hari ini.

Tiga lagi ialah Timbalan Presiden MIC dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh Noriah Mahat.

Ezam berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk

mempertahankan negara daripada dirosakkan oleh pelampau politik yang sanggup menjual nama Yang di-Pertuan Agong dan negara demi kepentingan peribadi.

Ezam pernah memegang jawatan sebagai setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan pengasas dan pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara.

Sementara itu, Palanivel turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya dan juga kepada presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu kerana menasihati beliau untuk mengambil jawatan itu.

“Pada awalnya, saya sedikit keliru untuk terima atau tidak, akhirnya presiden pujuk saya untuk terima jawatan ini dan saya terima dan akan cuba untuk berfungsi sebagai ahli dewan negara dengan baik,” katanya.

Palanivel bagaimanapun enggan mengulas spekulasi bahawa beliau akan ditawarkan jawatan dalam Kabinet sebagai timbalan menteri.

Abdul Rahim dan Noriah juga menghargai kepercayaan Perdana Menteri dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai senator dengan sebaik mungkin.
Related Posts with Thumbnails