Nik Aziz menjelaskan sudah menjadi kelazimannya, apabila hadir di mana-mana masjid atau surau di Kelantan, prinsip yang diamalkannya adalah tidak akan bercakap atau berkhutbah atau menjadi imam selagi tidak diminta oleh pihak masjid atau surau berkenaan.
Katanya lagi, prinsip yang sama dipegang apabila hadir di masjid atau surau di mana-mana negeri termasuk di Selangor.
“Oleh sebab itu, sekali lagi saya nyatakan bahawa tuduhan Datuk Seri Mohd Najib sehingga menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah tindakan mala fide bukan sahaja untuk melaga-lagakan saya dengan Sultan Selangor, malah menimbul fitnah besar kepada umat Islam untuk menggambarkan kononnya 'orang beragama' dan pemimpin seperti saya suka mengingkari dan menghina Sultan.
Kenyataan Najib itu disiarkan oleh Utusan Malaysia secara online (24 April 2010) atas tajuk “Nik Aziz hina Sultan Selangor – PM” yang kemudiannya disiarkan dalam Utusan Malaysia cetak (24 April) edisi nasional di muka depan dengan tajuk “Pembangkang ingkari Sultan”.
Antara petikan artikel itu - “Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid untuk kempen politik. Beliau menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah.”
Menteri Besar Kelantan itu juga berkata pandangan Najib yang dirasainya paling tidak bermoral apabila akhbar yang sama pada hari mengundi (25 April), menyiarkan semula di muka dua dengan tajuk “Tindakan Nik Aziz pertikai titah Sultan Selangor: Pengingkaran yang serius – PM.”
“Ia suatu pengulangan yang dibuat untuk menjatuhkan moral saya dan suatu bentuk fitnah media yang disengajakan bagi mempengaruhi umat Islam agar menolak kefahaman agama yang telah saya jelaskan secara sopan semasa sidang media pada malam 23 April di Kuala Kubu Bharu.
“Bagi saya, pandangan Datuk Seri Mohd Najib yang melabelkan saya sebagai 'melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor' adalah suatu pandangan yang tidak adil dan fitnah. Ia menggambarkan kenyataan bermotif politik dan penyelewengan fakta sebenar yang dipanjangkan oleh Utusan Malaysia, kerana ia sengaja disiarkan sebagai tajuk besar di muka depan (front page),” katanya.