SHAH ALAM : Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal  Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui  pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah  untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.
Beliau  menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya,  hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.
Timbalan  Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata,  kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan  ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.
Beliau memberi   alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti  perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Mengulas isu ini,  Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional  sudah tidak  dapat membezakan halal dan haram.
"Kerajaan mesti memikirkan  kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam  meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa  ertinya?" katanya.
Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan  melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap  berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.
"Judi termasuk  dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang  Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah  kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk  kepentingan masyarakat bukan Islam.
Beliau menyifatkan kerajaan  hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi  menghalalkan perjudian.
"Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi  mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah  haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain  disuruh pergi berjudi.
  
"Jika kerajaan hendak menyalurkan  dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita  boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat  tidak munasabah," katanya.
Dr Asri seterusnya mencadangkan  kerajaan supaya  bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik  buruk sesuatu perkara.
"Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan  dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang  dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan.  Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang  masalah kepada rakyat," katanya.



