SHAH  ALAM - Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke secara tegas menolak sepenuhnya  hasrat Kerajaan Pusat untuk melesenkan perjudian pada kejohanan bola  sepak Piala Dunia awal Mei ini.
Beliau  melihat tindakan berkenaan hanya sebagai penyumbang kepada masalah  sosial terbesar dalam negara ini.
"Jika  kerajaan memberi lesen untuk perjudian bola, ini seolah-olah  menggalakkan lebih ramai orang muda pergi berjudi dalam pertandingan  bola sepak. Saya rasa ini akan meyebabkan keadaan yang tidak sihat dan  menyebabkan lebih banyak masalah sosial," katanya.
Anthony  Loke menganggap tindakan kerajaan Umno BN ini bertentangan dengan usaha  mengawal aktiviti perjudian haram.
"Apabila  kerajaan memberikan lesen ini, ia adalah tidak tepat. Mereka mengatakan  perkara ini untuk mengawal perjudian haram ssekali gus menyalurkan cukai  kepada kerajaan.
"Saya rasa ini sesuatu yang walaupun  betul menjanakan sedikit pendapatan kepada kerajaan tetapi masalah akan  bertambah lebih besar," katanya yang terkilan kerana hal ini banyak kali  dibangkitkan di Parlimen tetapi tiada penyelesaian sebaliknya langkah  berlawanan pula diambil.
Anthony Loke menyifatkan  keadaan ini menunjukkan kegagalan kerajaan mengurus kewangan negara dan  terlalu bergantung kepada cukai judi.
"Mereka  ingat ini cara mudah untuk menambah cukai kerajaan dengan memberi lebih  banyak special draw, lesen judi lesen bola dan sebagainya? Ini cara  mudah untuk menambah cukai tetapi saya rasa ini kaji kesan sosial dulu,"  katanya.
Beliau menyeru kerajaan Umno Barisan  Nasional (BN) supaya mengkaji dengan lebih teliti hal ini dan tidak  memihak kepada golongan tertentu sahaja.
-tvselangor-



