Kenyataan Akhbar Pakatan Rakyat
BERKENAAN SIASATAN MAHKAMAH PERANCIS  TERHADAP SKANDAL URUS NIAGA PEMBELIAN KAPAL SELAM BERJUMLAH RM 4.7  BILION
29 April 2010
Pakatan Rakyat memuji Suara  Rakyat Malaysia (Suaram) kerana memulakan aduan rasuah di Mahkamah  Perancis berhubung urus niaga bernilai RM 4.7 bilion di antara Kerajaan  Malaysisa dan DCN, konglomerat senjata terbesar Perancis. Urus niaga ini  melibatkan Razak Baginda, yang dikenali sebagai penasihat kepada  Perdana Menteri Najib Tun Razak sehinggalah berlakunya pembunuhan  penterjemah Mongolia, Altantuya Shariibuu di Malaysia. 
Sistem keadilan Malaysia, secara  khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) gagal mengenal  pasti isu-isu rasuah yang kini sedang dibawa Suaram ke dalam sistem  perundangan Perancis. Amat mengaibkan, rakyat Malaysia terpaksa pergi ke  Perancis untuk mendapatkan penjelasan dan ketelusan terhadap rasuah  yang membazirkan berbilion ringgit duit orang ramai.
Namun demikian, ia bukan hanya  tentang kegagalan SPRM. 
Pembunuhan Altantuya juga masih  belum diselesaikan. Seluruh negara tahu bahawa dua orang anggota polis  yang disabitkan kesalahan, Azilah Hadri dan Sirul Azhar hanyalah  perkakas yang digunakan untuk membunuh Altantuya. Ibarat telah ada alat  sepucuk pistol tetapi siapa yang menarik picu melepaskan peluru? Kesemua  lembaga-lembaga negara kita - polis, Jabatan Peguam Negara dan  Kehakiman telah gagal, secara sengaja atau akibat kecuaian untuk  memberikan jawapan kepada soalan mustahak ini.
Beberapa soalan penting yang  masib belum berjawab berkaitan dengan urus niaga kapal selam dan  pembunuhan sensasi:
Apakah peranan Perdana Menteri  Najib Tun Razak dalam urus niaga kapal selam tersebut, hubungan dengan  penasihatnya Razak Baginda yang membuat keuntungan luar biasa daripada  urusniaga itu dan penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu?  Apakah yang dimaksudkan dengan meminta bantuan yang dibuat Razak Baginda  kepada Musa Safri, Ketua Pengawal Najib pada malam 19 Oktober 2006  melalui telefon selepas Sirul dan Azilah sampai dengan seorang anggota  polis wanita, Lans Koperal Rohainaza serta membawa pergi Altantuya dari  hadapan rumah Razak di Bukit Damansara dan tidak ditemukan lagi selepas  itu? Siapa yang mengarahkan anggota polis terbabit ke sana?
Apakah yang dibuat pegawai khas  Najib Tun Razak selama 20 tahun, Nasir Safar memandu kereta Proton merah  yang muncul di hadapan rumah Razak, beberapa ketika sebelum anggota  polis tersebut muncul dan membawa Altantuya pergi?
Apakah Nazim Tun Razak  menawarkan sejumlah wang yang besar kepada penyiasat persendirian  Balasubramaniam dan juga mengancam keluarganya apabila dia bertemu Bala  pada malam 3 Julai 2008 selepas Bala mengeluarkan pengakuan bersumpahnya  yang pertama?
Apa pula penglibatan Deepak  Jaikishan yang dikenal rapat dengan Rosmah Mansor dalam pembuatan akuan  bersumpahnya yang kedua, serta peranannya dalam mengaturkan pertemuan di  antara Nazim Tun Razak dan Bala?
Bagaimana dengan kewujudan  gambar yang diperkatakan Burmaa OyunChinmeg, sepupu Altantuya, yang  menunjukkan Najib, Razak dan Altantuya makan malam bersama di sebuah  restoran di Paris? Kenapa Arnaud Dubus, wartawan Perancis, berkata  bahawa bapa Altantuya memberikan gambar tersebut kepada bekas Konsul  Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi  dari Wisma Putra Malaysia. Abdul Rahman kemudiannya memberikan gambar  tersebut kepada pihak polis yang akhirnya hilang selepas itu.
Kenapa syarikat yang baru  ditubuhkan Razak Baginda, Perimekar terlibat dalam urus niaga kapal  selam ini memandangkan ianya tidak memiliki keupayaan, kemampuan  kewangan atau kepakaran untuk mendokong pemberian kontrak tersebut?
Mengapa kerajaan tidak  berurusniaga secara langsung dengan konglomerat senjata Perancis  tersebut?
Siapa yang memberi arahan untuk  membunuh kerana dua orang pengawal tersebut tidak mempunyai motif untuk  membunuh Altantuya?
Kenapa penyiasat persendirian  Balasubramaniam yang membuat perakuan bersumpah dan dakwaan lainnya  terhadap penglibatan Najib dan para pegawainya (Musa Safri dan Nasir  Safar) lari dari Malaysia? Apakah yang perlu dilakukan bagi menjamin  keselamatan Bala untuk ikut terlibat dalam penyiasatan ini?
Mengapakah pembantu Najib, Musa  Safri dan Nasir Safar tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam  perbicaraan?
Pakatan Rakyat amat menyokong  penyiasatan ini dibuat atas kepentingan keadilan serta ketelusan.  Pakatan Rakyat juga mendesak kerajaan dan institusi-institusi negara  yang berkenaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya serta jujur dalam  penyiasatan ini.



