Jumaat, 7 Mei 2010

Kes Aminulrasyid: Pemilik Kereta yang Bergesel sebagai Saksi Baru

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendedahkan individu baru iaitu pemilik kereta yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada malam mangsa ditembak mati oleh polis, Isnin lalu.

Pemilik kereta berkenaan, dakwa tokoh PAS itu tampil mengesahkan kebenaran kenyataan saksi utama kejadian itu, Azamuddin Omar.

Khalid berkata, pemilik kereta itu meminta pandangan sama ada beliau perlu membuat laporan polis atau tidak memandangkan pihak polis sedang mencarinya.

"Saya menasihatkan pemilik kereta tersebut membuat laporan polis dan beliau akhirnya membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.

"Berdasarkan cerita pemilik kereta itu, mengesahkan lagi kenyataan Azamuddin yang kini memasuki kali ketiga diambil keterangan oleh pihak polis," katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Menurut Khalid, selain pemilik kereta terbabit, seorang penunggang motosikal yang mengejar mangsa (Aminulrasyid) sehingga terjatuh pada hari kejadian turut membuat laporan polis selepas kejadian itu.

Dalam laporan polis tersebut, Azamuddin yang turut berada bersama mangsa dikejar oleh tiga penunggang motosikal selepas menggesel kereta terbabit di Restoran Ali Maju di Shah Alam.

Sementara itu, Khalid turut menggesa Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mendedahkan fakta terbabit kerana ia secara langsung mengesahkan laporan polis Azamuddin.

Malah beliau khuatir fakta tersebut disembunyikan daripada dimaklumkan daripada pengetahuan rakyat.

"Polis kenal pasti dan cam pemilik kereta yang digesel mangsa. Saya khuatir fakta disembunyikan dan tidak dimaklumkan kepada rakyat.

"Lebih-lebih lagi kini Azamuddin diheret oleh polis sehingga diambil kenyataan sehingga tiga kali," kata beliau.

Malah beliau turut menggesa polis yang melakukan tembakan tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa.

"Jika sudah tersilap jangan buat kesilapan untuk tutup. Tampil ke hadapan, mengaku dan minta maaf dengan keluarga mangsa.

"Jangan bersekongkol dengan mendiamkan diri sedangkan tahu apa yang terjadi sebenarnya," katanya.

-freeMalaysiaToday

Related Posts with Thumbnails