Jumaat, 7 Mei 2010

Zaid Ibrahim diminta mohon ampun dalam 24 jam

PETALING JAYA, 6 Mei — Lima belas gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor hari ini meminta Anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim memohon ampun kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh 24 jam.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Arman Azha Abu Hanifah berkata ini berikutan kenyataan biadap Zaid dalam tulisan blognya yang disiarkan sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu hari ini, dan jika Zaid tidak berbuat demikian, kenyataan itu dianggap pendirian rasmi PKR.

“Kami mendesak agar beliau meminta maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor kerana kenyataan beliau itu seolah-olah memperlekehkan dan mempersendakan titah perintah Sultan Selangor dan tidak menghormati Institusi Kesultanan Melayu,” katanya pada satu protes oleh Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (MAGARAN) di hadapan ibu pejabat PKR di sini.

Antara NGO yang menyertai demonstrasi itu ialah Persatuan Kebajikan Islam Selangor, Gabungan Graduan Melayu Muda, Pertubuhan Anak-Anak Bugis Negara dan Persatuan Pembela Perlembagaan Persekutuan.

Arman Azha berkata kenyataan Zaid itu dianggap seperti menghasut rakyat supaya tidak menghormati titah perintah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam.

Dalam laporan akhbar itu, Zaid didakwa sebagai berkata ‘‘bukan zaman feudal’’ ketika merujuk kepada titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan masjid dan surau sebagai gelanggang berpolitik.

Zaid mendakwa titah itu adalah hanyalah pendapat peribadi Sultan Selangor kerana tidak dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). — Bernama

Related Posts with Thumbnails