Salam Kamunting,
Pilihan raya kecil Hulu Selangor meninggalkan  satu polemik yang terus dipanjangkan sehingga hari ini iaitu perihal  berpolitik di dalam masjid, boleh atau tidak? Halal atau haram?
Apabila  pihak istana yang menjadi payung kepada ugama di negara kita turut  campur tangan, ianya mestilah dipandang serius supaya satu ketetapan  bersama dipersetujui oleh parti – parti politik yang terlibat dengan  masjid dan ugama Islam. Jika tidak, ia akan mencipta suasana muram dan  keluh kesah di kalangan masyarakat Islam yang masjid adalah tumpuan  kehidupan beragama mereka.
Mungkin untuk mencapai itu adalah  susah dan sukar kerana perbezaan politik yang ketara di antara dua parti  utama umat Islam iaitu PAS dan UMNO. Tetapi demi keharmonian masjid  sebagai tempat ibadah dan penyatuan, usaha perlu digandakan oleh pihak  di atas dan hasilnya pasti ada pada tahap dan masanya.
Jauhnya  beza golongan Sunni dan Syiah tidak menghalang usaha taqrib yang cuba  mendekatkan di antara mereka. Ia sukar tetapi wacana itu mesti wujud dan  diteruskan demi hujjah dan keterangan sesama umat Islam.
Saya  yakin berdasarkan titah Sultan Selangor bahawa larangan itu bermaksud  suasana cerca - mencerca, tuduh – menuduh dan tuding – menuding terhadap  individu ahli politik di dalam masjid yang boleh mencetuskan rasa  kurang senang dan perpecahan di kalangan anggota jamaah masjid. Oleh  kerana ia melibatkan isu – isu politik dan kepartian, maka wujudlah  larangan berpolitik di dalam masjid.
Saya kira ia larangan kepada  keadaan yang khas dan semacam itulah arahan yang datang dari hampir  seluruh istana di Malaysia termasuk Istana Kelantan. Keadaan yang khas  adalah apabila ianya membabitkan serangan terhadap individu dan parti –  parti politik.
Politik adalah daripada Islam. Pertama, kerana  Islam adalah menyeluruh pengajarannya. Maka adalah terlalu dangkal  memisahkan politik daripada agama sedang ia adalah meliputi sebahagian  besar kehidupan mnusia. Kedua, politik bermaksud, pada faham yang paling  awal, pengurusan kuasa. Kuasa di rumah sampailah negara dan masyarakat  antarabangsa. Maka adalah terlalu pelik jika Islam dipisahkan daripada  kuasa kerana ugama tiada mungkin dapat ditegakkan tanpa kuasa. Ketiga,  politiklah yang menggerakkan kewajiban agung umat iaitu berjihad di  jalan Allah. Ia dimulakan oleh pemerintah atau imam. Bagaimana  dibayangkan imam dan pemerintah tanpa kuasa dan politik?
Banyak  lagi sebab dan kerana..
Jika begitulah pentingnya politik di  dalam Islam dan jika begitu mudah sekali kita mengenali kepentingan  masjid di dalam Islam, maka bagaimana kita boleh membayangkan satu  suasana kehidupan Islami yang memisahkan di antara masjid dan politik?
Anda  berhak bertanya mufti kerajaa negeri Perak, mengapa ketika kita telah  sama – sama bersetuju memecat selipar di tangga sebelum mamasuki masjid,  dia pula turut memecat politik ditangga masjid kerana baginya politik  sekotor selipar?
Anda berhak bertanya beliau yang merupakan mufti  pengharam politik yang paling banyak bercakap politik itu, mengapa  beliau mengamalkan Islam yang begitu sukar itu untuk difahami, malah  memalukan sekali memahami Islam seperti itu?
Anda berhak bertanya  kerana kesukaran itulah yang memecah – belahkan umat itu memahami Islam  yang benar dan asli. Tidakkah beliau sedar bahawa senjata utama barat  semenjak ratusan tahun dulu untuk memecah – belahkan kesatuan umat  adalah dengan menyebarkan faham politik suku ugama suku?
Begitu  contoh dan gambaran bagaimana jika larangan berpolitik di dalam masjid  difahami secara yang salah, maka ia akan menambahkan parah dan kesakitan  yang menimpa umat hari ini.
Kita membiarkan media cetak dan  elektronik dikuasai tentera iblis menyebarkan faham sekular mereka dalam  saat kita turut mengharamkan masjid milik kita daripada bercakap,  bahkan mesti diam dan membisu!
Tidak mungkin inilah fahaman  istana yang menjadi payung agama dan negara.
Tetapi inilah  fahaman UMNO yang cuba menggunakan dan berselindung di sebalik istana.
PAS  dan UMNO, di sinilah garis pemisahan yang menyusahkan di antara mereka.  PAS menegakkan asas beragama manakala UMNO bermatian meruntuhkan asas  dan membina di atasnya tiang kepalsuan dan kekhurafatan.
Politik  tak sama dengan parti. Ibrahim Ali berpolitik dan masuk parlimen tanpa  perlukan parti. Tetapi sebuah kekuatan politik takkan berlaku tanpa  sebuah kesatuan parti yang menggerak dan menjayakan matlamat  perjuangannya. Sekadar melompat meniru katak, tiadalah nilainya dalam  membela umat dan agama.
Saya menyeru kepada dua;
1)  Memahamkan UMNO bahawa memisahkan politik daripada ugama adalah haram.  Begitulah memisahkan masjid daripada politik.
2) Memahamkan  segelintir para ustaz dan pejuang PAS bahawa mencerca, menuduh dan  menyerang individu di dalam masjid adalah tidak beradab, tidak berhikmah  dan tiada untungnya untuk perjuangan. Dakwah tanpa hikmah ibarat  hidangan nasi tanpa lauk. Hasilnya, tutuplah kedai makan anda. Takkan  datang pengunjung.
Istana boleh memainkan peranan yang maha mulia  ini.
Masjid adalah syiar kesatuan umat menuju Allah. Takkan  sampai kepada Allah ahli masjid yang salah memahami pengajaran ugamanya.  Ajaran UMNO takkan menyampaikan rakyat Malaysia kepada ridha Allah.
http://nikabduh.wordpress.com/



