Pengerusi Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam,  Datuk Dr Jacob George menyelar tindakan tidak profesional Tenaga  Nasional Berhad, TNB yang memberi alasan tidak munasabah berhubung isu  sistem bacaan bil elektrik.
Alasan kekurangan tenaga kerja dan  kononnya mencontohi negara maju bukan jawapan yang ditunggu rakyat yang  terbeban dengan taktik TNB membuat pengiraan bil secara dua bulan  sekali.
Beliau mengesyaki tindakan TNB itu adalah usaha  terancang bagi memperoleh lebih keuntungan.
“ Mereka tidak  profesional. Seperti mereka meletakkann negara-negara seperti Amerika  Syarikat, Eropah, Britain tetapi negara-negara seperti ini, sebelum  mereka hendak bawa masuk apa-apa polisi, selalunya mereka akan  memperkenalkannya kepada masyarakat umum, dapat maklum balas dan  sebagainya" ujar Jacob.
Berhubung masalah ini, Jacob berkata,  pihaknya banyak menerima rungutan orang ramai di sekitar Subang dan Shah  Alam sejak Julai tahun lalu. 
“ Bagi saya ini bukan alasan yang  munasabah atau alasan yang tidak boleh masuk akal. Dia (TNB) tidak  boleh banding kita dengan negara-negara maju. Sebab GNP di negara-negara  itu lain dari negara kita".
"Ini adalah masalah orang-orang  korporat di negara-negara kita, bila kita bagi soalan, kita minta  jawapan, dia selalu kata kalau banding dengan negara-negara macam  Amerika ke, Singapura ke, atau negara-negara lain, kita masih sama..  tapi Gross National Product mereka berapa? Gaji minima mereka berapa?   Taraf hidup mereka tidak sama, ia berbeza dengan Malaysia" tambah beliau  lagi. 
Malah, beliau berkata, analisis yang dijalankan  persatuan mendapati sistem bacaan kadar penggunaan elektrik dua bulan  sekali ini merupakan satu strategi terancang TNB.  
" Dalam  analisis persatuan pengguna Subang dan Shah Alam kita merasa dukacita  apabila kita mendapati ini adalah taktik yang digunakan oleh TNB untuk  meningkatkan kos penggunaan elektrik" tambahnya lagi.
 
Kata  Jacob, tindakan ini membebankan rakyat berikutan tarif elektrik yang  meningkat sekali ganda dari jumlah yang sepatutya, sekaligus menunjukkan  sikap TNB yang tidak sensitif dengan taraf hidup rakyat.
"  Soalan yang kita tanya, di mana mereka punya kerjasama, atau dia punya  semangat kemasyarakatan? Untuk berbakti kepada masyarakat kita? Tidak  ada, langsung tidak ada. Jadi apabila dia menggunakan taktik untuk caj  selama dua bulan dan caj itu lebih, ini dukacitalah”  katanya. 



