Ia berikutan keputusan mahkamah itu yang menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.
Dengan penghakiman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.
Ini adalah saman pertama yang dikemukakan oleh peneroka terhada Felda.
Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff mengetuai panel tiga hakim dalam perbicaraan hari ini.
Katanya, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
"Justeru, rayuan itu ditolak."
Hakim lain adalah Datuk Hashim Yusof dan Datuk Md Raus Sharif.
Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.
Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.
Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.
Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.
Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.