Tiga yang lain itu adalah jutawan perniagaan Tan Sri Vincent Tan, setiausaha agung Umno yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Karpal berkata keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah betul dengan tidak membenarkan ketiga-tiga mereka mencabar keputusan siasatan Suruhanjaya Diraja itu.
"Mahkamah rayuan silap dalam keputusan hari ini yang membenarkan rayuan itu. Apa yang pihak berkuasa sepatutnya lakukan ialah bertindak ke atas cadangan dan hasil penemuan dan mengambil tindakan ke atas individu-individu yang terbabit,” kata Karpal.
Berikutan keputusan mahkamah rayuan itu, merit kes berkenaan akan diserahkan semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk didengar.
Menurut Karpal pihak berkuasa juga gagal memulakan tindakan berikutan cadangan suruhanjaya itu.
Karpal sebelum ini menawarkan dirinya untuk mendakwa Lingam menurut Akta Profession Peguam, tetapi peguam negara tidak menerima cabaran itu.
Karpal berkata dalam insiden mata lebam bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihak berkuasa bertindak ke atas bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang didapati bertaggungjawab oleh suruhanjaya diraja itu.
"Ini sepatutnya apa yang perlu dilakukan (dalam kes Lingam),” katanya.
Pada 12 Dis 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penemuan suruhanjaya diraja itu tidak boleh disemak atau dicabar kerana ia bukan satu keputusan, dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasi mereka yang terbabit.
Dalam penemuannya, panel lima anggota suruhanjaya itu mendapati klip video yang menunjukkan Lingam sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.
Suruhanjaya itu juga mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-undang 1976.
Kecuali Dr Mahathir, lima yang lain mengemukakan permohonan agar mahkamah mengadakan semakan semula supaya hasil penemuan suruhanjaya itu dibatalkan.
Bagaimanapun, Tan dan Tengku Adnan telah menarik balik rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada awal tahun ini.
Pesuruhjaya berkenaan -- pengerusi Tan Sri Haidar Mohd Noor, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim -- bersidang selama 17 hari untuk menyiasat klip video 14 minit itu.