Rabu, 25 Ogos 2010

Kematian 2 saksi kes video Lingam diragui

IMG00428-20100824-1810 Oleh Qayum Rahman |

SUBANG JAYA: Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne dan bekas Setiasuaha VK Lingam, Jayanti L Govindarajulu Naidu menyifatkan kematian dua saksi kes kontroversi klip video Lingam, Rama Chandran dan Ravindren diragui dan ditakuti.

Gwo-Burne berkata, pihak polis tidak pernah menjanjikan keselamatan kepada setiap saksi kes kontroversi itu sehingga wujudnya kematian yang diragui.

Menurutnya, polis tidak melakukan sebarang penyiasatan ke atas setiap laporan yang dibuat oleh saksi-saksi berkenaan yang menerima pelbagai ugutan.

"Polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan Jayanti yang merupakan saksi utama dalam kes klip video Lingam itu.

"Keselamatan Jayanti tidak terjamin dan amat membimbangkan kerana kerap kali mendapat ugutan daripada individu yang tidak dikenalinya," katanya ketika mengadakan sidang media di Subang Jaya semalam.

Jayanti yang turut hadir berkata, kehidupan beliau sekarang ini terumbang-ambing akibat sentiasa diganggu oleh beberapa individu yang sengaja ingin menakutkannya.

Ugut melalui telefon

"Saya telah membuat beberapa laporan polis tetapi tiada tindakan diambil. Kali terakhir saya buat laporan ialah pada 8 Julai lalu di Balai Polis Subang Jaya setelah menerima panggilan ugutan dari United Kingdom," katanya.

Jayanthi berkata, kematian dua saksi utama masih diragui dan tiada penjelasan rasmi diberikan mengenai kematian mereka.

"Saya amat takut untuk hidup di negara ini dan banyak kali terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk menjaga keselamatan saya.

Pada tahun 2009, beliau menerima ugutan bunuh dan setelah membuat laporan, pihak polis meminta telefon bimbit beliau untuk melakukan siasatan.

"Selepas beberapa hari, saya menerima kembali telefon bimbit saya dan didapati seluruh telefon bimbit saya dileraikan satu persatu.

"Saya tidak minta polis bertanggungjawab atas kerosakan telefon bimbit tetapi saya ingin pihak polis menjamin keselamatan saya. Saya telah merana sejak beberapa tahun yang lalu," jelasnya.
Related Posts with Thumbnails