Rabu, 25 Ogos 2010

Insiden ’salah guna kuasa’ di semua PBT Selangor

FMT | SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan terdapat "beberapa insiden salah guna kuasa" di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri berkenaan.

Beliau berkata, beliau telah meneliti draf laporan audit negeri di mana siasatan sedang dijalankan oleh kerajaan negeri minggu lalu.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sama ada penemuan ini mengejutkan atau boleh memberi kesan buruk.
.
"Saya fikir terdapat beberapa insiden salah guna kuasa dan saya mendedahkan secara terperinci minggu depan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri hari ini.

Apabila disoal lebih lanjut sama ada salah guna kuasa ini digunakan oleh ahli exco atau ahli majlis beliau menjawab dengan sedikit senyuman, "semua orang boleh meneka".

Minggu lalu, kerajaan negeri berkata 12 PBT di Selangor akan dipantau oleh juruaudit-juruaudit negeri ekoran dari pemecatan ahli Majlis Perbandaran Klang Tee Boon Hock kerana melanggar etika dalam menawarkan kontrak perniagaan.

Sementara itu, Khalid mengaku tidak tahu menahu tentang dakwaan pengeluaran surat sokongan oleh ahli exco Ronnie Liu.

Beliau berkata, surat pekeliling telah diedar kepada semua PBT mengarahkan mereka tidak menggunakan surat-surat sokongan sebagai asas untuk membuat keputusan dalam pemberian kontrak perniagaan.

Apabila ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyiasat perkara ini, Khalid hanya berkata pengeluaran surat-surat sokongan telah menjadi "biasa".

"Sehingga bulan lalu, kami telah membuat keputusan bahawa surat-surat sokongan tidak akan dipertimbangkan untuk mendapatkan kontrak perniagaan," katanya.

Khalid menegaskan bahawa ahli majlis dan PBT "kini lebih sedar" dalam melindungi kedudukan masing-masing terhadap tuduhan yang membawa kepada konflik kepentingan.

Kamera intip: MB enggan buat spekulasi

Dalam perkembangan yang lain, menteri besar itu mendedahkan bahawa pihaknya menyenarai-pendek nama mereka yang mempunyai akses kepada pejabat beliau berikutan insiden intipan menggunakan kamera baru-baru ini.

Berdasarkan hasil siasatan sendiri beliau berkata, kini pihaknya sedang memantau mereka "yang datang bertemu saya".

Bagaimanapun beliau enggan memberi maklumat terperinci mengenai suspek-suspek dan menegaskan bahawa beliau tidak mahu bercakap tentang sesuatu perkara yang mempunyai elemen spekulasi.

Selain itu, beliau juga mendedahkan bahawa beliau tahu tentang kamera itu secara terperinci.

"Kami tahu pengeluar dan kedainya, kami juga tahu siapa mereka yang sedang diawasi dan kami tidak mahu beritahu lebih dari itu," katanya.

Menurutnya, beliau akan menyerahkan penemuan ini kepada Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar dalam tempuh seminggu untuk tujuan penyiasatan.
Related Posts with Thumbnails