Rabu, 25 Ogos 2010

Berbuka Puasa Dengan Arak Di Pub


Mohd. Amri Abdullah (kiri) memberi nasihat kepada Chef salah sebuah hotel yang menggunakan bahan campuran tidak halal ketika Ops Ramadan di ibu negara, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Akibat kejahilan segelintir umat Islam, ada yang sanggup berbuka puasa dengan meminum arak di pub-pub di ibu negara.

Pelik, tetapi itulah hakikatnya yang berlaku di dua pub di Jalan Ampang, Bukit Bintang di sini yang berselindung di sebalik tawaran bufet Ramadan.

Tanpa berasa janggal, mereka menikmati bufet tersebut walaupun minuman yang disediakan hanya minuman keras.

Bagaimanapun, helah pub itu berakhir apabila diserbu sepasukan penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Jakim, Mohd. Amri Abdullah berkata, serbuan pada pukul 1 petang itu dilakukan selepas pihaknya mendapati pub berkenaan menawarkan bufet Ramadan.

"Kita mengesan pub-pub menawarkan bufet Ramadan itu berdasarkan iklan yang pada kain rentang yang digantung di depan premis.

"Dalam pemeriksaan pertama pub di Bukit Bintang, kita terkejut kerana minuman yang disediakan di situ hanyalah arak. Ini bererti pengunjung berbuka puasa dengan arak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menambah, makanan di pub berkenaan pula disediakan peniaga Islam yang menyewa dapur pub tersebut.

Mohd. Amri memberitahu, ketika pihaknya melakukan pemeriksaan di pub di Jalan Ampang pula mendapati keadaannya hampir sama walaupun pekerja pub tersebut terdiri daripada orang Islam.

"Bufet Ramadan disediakan, diletakkan di tepi bar yang penuh dengan arak manakala minuman untuk pelanggan berbuka puasa juga disediakan di situ.

"Berikutan itu, Jakim mengarahkan supaya pub tersebut menurunkan kain rentang yang mempromosi bufet Ramadan itu serta merta selain memberi notis supaya premis berkenaan tidak lagi menyediakan pakej untuk berbuka puasa.

"Malah kita juga meminta pub itu agar tidak mengklasifikasikan makanan yang disediakan adalah halal kerana premis tersebut tidak mempunyai sijil halal Jakim," ujar beliau.
Related Posts with Thumbnails