Selasa, 24 Ogos 2010

Susilo: Elak budaya rosakkan hubungan diplomatik Malaysia, Indonesia


JAKARTA, 24 Ogos — Ekoran protes sejak beberapa hari termasuk tindakan membuang najis ke atas Kedutaan Besar Malaysia di sini semalam, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono minta rakyat negara itu bertenang dan mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran tetapi mengakui perbincangan mengenai soal sempadan perlu dipertingkatkan.

“Kita tidak perlu ada budaya menjejaskan hubungan diplomatik setiap kali (ada sesuatu insiden),” kata Susilo (gambar) selepas mesyuarat Kabinet semalam.

“Prinsip pertama ialah kita perlu mempertahankan hubungan baik kita,” kata beliau.

Kenyaatan presiden itu dikeluarkan di sebalik protes ekoran penahanan tiga pegawai maritim Indonesia oleh Malaysia, yang menurut Jakarta berlaku dalam perairan Indonesia dekat dengan Kepulauan Riau.

Selain laporan media yang disahkan oleh kerajaan negara itu, lebih 100 rakyat Indonesia menunggu hukuman mati di penjara Malaysia.

Anggota perundangan dan politik Indonesia menggesa pendirian tegas terhadap Malaysia.

Insiden itu membawa kepada protes di Kedutaan Besar Malaysia di sini termasuk oleh kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada satu demonstrasi petang ini.

Seorang daripada 37 penunjuk perasaan itu telah melemparkan najis itu ke dalam pekarangan kedutaan itu melepasi pintu pagar hadapan dan di atas kepala barisan anggota polis Indonesia yang sedang mengawal ketat di hadapan bangunan itu.

Mereka turut melepaskan najis itu ke atas bendera Malaysia yang dipijak-pijak di atas jalan tempat mereka berkumpul di hadapan kedutaan itu.

Kumpulan itu sebelumnya telah membawa lima bungkusan najis itu, ada yang diletakkan dalam kertas bungkusan makanan, dalam plastik dan dalam kotak polisterin dan dinyatakan sebagai “hadiah” untuk Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana Malaysia selama ini telah beberapa kali memberi “najis” yang lebih kotor kepada Indonesia.

Ia juga untuk menyatakan kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Susilo yang dikatakan sangat lemah menghadapi Malaysia.

Berikutan kejadian lempar najis itu polis Indonesia menangkap tiga orang pelaku berkenaan.

Susilo berkata kerjasama antara Indonesia dan Malaysia perlu demi kepentingan setiap pihak.

“Tetapi jangan salah faham. Sekali lagi, jika ia menyentuh kepentingan asas, kedaulautan kita dan wilayah kita, kita perlu melakukan apa yang perlu dilakukan,” kata beliau dipetik Jakarta Globe.

“Jika ia menyentuh isu sedemikian tiada kompromi,” katanya lagi.

Susilo juga menekankan bahawa beliau telah mengarahkan siasatan berhubung penahanan tiga pegawai berkenaan, mengenal pasti sama ada lokasi mereka ditahan terletak dalam perairan Malaysia atau Indonesia ataupun di kawasan bertindih antara kedua-dua negara.

Katanya jika ia berada dalam kawasan pertikaian “biar kita menggesa diadakan perundingan sempadan untuk diselesaikan dengan segera dan secara lebih efektif, kedua-dua sempadan Singapura dan Malaysia tetapi juga perairan Ambalat.”

Hubungan Malaysia-Indonesia menjadi tegang pada Jun 2009 selepas Malaysia didakwa mencerobohi perairan Ambalat.

Bagaimanapun Susilo menjelaskan penyelesiaan isu sempadan di kawasan pertikaian perlu menanti mahkamah perantara antarabangsa.

“Jika kita mahu mendapatkan kedaulatan wilayah, kita perlu mempertahankan undang-undang,” katanya.

Menteri Luar Marty Natalegawa berkata Indonesia bersedia untuk berunding dengan Malaysia tetapi mendakwa Malaysia tidak bersetuju.

Marty juga mendakwa pegawai-pegawai Malaysia juga telah meminta pegawai Indonesia menandatangani satu dokumen mengakui salah menceroboh perairan Malaysia.

Menteri Koordinasi Bagi Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Djoko Suyanto telah mengadakan mesyuarat berasingan semalam bersama Marty, Menteri Maritim dan Hal Ehwal Perikanan Fadel Muhammad, Menteri Pengangkutan Freddy Numberi, Ketua Angkatan Tentera Jeneral Djoko Santoso dan Ketua Tentera Laut Laksmana Agus Suhartono.
Related Posts with Thumbnails