Rabu, 25 Ogos 2010

Kakitangan awam dibayar RM500 sempena Aidilfitri


Bernama | KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau bayaran itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara.

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam dan golongan pesara seperti yang diumumkan hari ini.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata pemberian bantuan khas kewangan bagi Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu akan meringankan beban mereka ketika menyambut Aidilfitri bulan depan.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu, ini sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang.

“Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam,” kata ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan bonus yang lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh berkata pihaknya amat berpuas hati kerana golongan pesara tidak dipinggirkan.

“Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan golongan pesara yang telah berkhidmat kepada negara,” katanya.

Raja Wan Mahmood berkata pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara selain meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

Related Posts with Thumbnails