Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan UMNO-BN untuk mengapi-apikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecah-belahkan keharmonian masyarakat. Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan UMNO-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
Pakatan Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat. Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.
Dasar Pakatan Rakyat menyatakan: "Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama."

Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan UMNO-Barisan Nasional terhadap rakyat. Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini. Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat. Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.
Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan UMNO-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM 52 billion. Kita menggesa satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.
*Kenyataan bersama oleh Nasharuddin Mat Isa (selaku Timbalan Presiden PAS ), Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) dan Lim Guan Eng (selaku Setiausaha AgungDAP).