Isnin, 16 Januari 2012

Pakatan mahu kenaikan gaji dan pangkat adil untuk guru, kakitangan awam



ALOR SETAR, 15 JAN: Perbezaan peratusan kenaikan gaji bagi guru di bawah sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sangat ketara kerana guru DG44/DG1-2 cuma mendapat kenaikan gaji 0.07 peratus atau dua ringgit satu sen sahaja!

Ini bererti gaji guru tersebut naik daripada RM2,982.99 kepada RM2,985 selepas menukar daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA.

“Nilai ini terlalu rendah jika dibandingkan dengan kenaikan gaji guru DG54/DG1-6 sebanyak RM1,857.46 (bersamaan 35.94 peratus), iaitu daripada RM5,167.64 kepada RM7,025.00,” kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Beliau yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan telah membentangkan kertas kerja untuk memartabatkan perkhidmatan awam di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di sini semalam.

Katanya, kajian yang dibuat menunjukkan pengiraan SBPA akan menyebabkan berlakunya peningkatan gaji guru yang tidak adil.

Tambahan juga, menurutnya, terdapat guru dalam gred berbeza menikmati gaji yang sama.

“Contohnya, seorang guru P1T10 yang menikmati gaji bulanan RM2,509.90 dalam SSM, selepas menerima SBPA, gajinya sama dengan guru P1T9 sebanyak RM2,615 sebulan.

Husam menjelaskan bahawa sewaktu Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2012, tempoh guru DG41 (DG1-1) dinaik pangkat ke DG44 (DG1-2) adalah tahun kelapan dan seterusnya tahun ke-16 dikira dari pelantikan DG41 akan dilantik ke DG48 (DG1-4).

Tetapi, mengikut SBPA, pihak yang terlibat harus menunggu tahun kesembilan atau menggenapkan perkhidmatan selama lapan tahun di DG41/DG1-1 sebelum dinaikkan pangkat ke DG44/DG1-2 dan perlu menggenapkan lapan tahun perkhidmatan di DG1-2 sebelum layak dinaikkan pangkat secara ‘time-based’ ke DG1-4, jelas beliau lagi.

Selain itu, beliau berkata, di bawah SPBA yang dicadangkan, masih terdapat kakitangan awam yang menerima gaji di bawah RM900 sebulan seperti Gred N5-1 (SSM – N11) RM850 – RM2390 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM80) dan Gred N4-1 (SSM – N17) RM955 – RM2780 (Kenaikan gaji tahunan KGT RM95).

Sebaliknya, tambah beliau, kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dijangka menerima kenaikan hampir 45 peratus pada peringkat permulaan gaji berbanding SSM.

“Kumpulan Premier 1 mendapat kenaikan sehingga RM60,000 sedangkan gaji mereka sebelum ini hanya sekitar RM30,000. Sementara itu, kakitangan awam biasa hanya menerima kenaikan gaji 7-13 peratus selepas menerima SBPA.

“Pengumuman penangguhan SBPA oleh Perdana Menteri membuktikan terdapat begitu banyak kelemahan dalam skim ini. Soalnya, kenapa kabinet meluluskan pelaksanaannya tanpa benar-benar menelitinya?” soal beliau.

Menurut Husam, Pakatan Rakyat mencadangkan bukan sahaja SBPA ditangguhkan, malah satu tawaran alternatif berasaskan prinsip akauntabiliti dan kecemerlangan perkhidmatan awam akan dibentangkan dalam tempoh 60 hari akan datang.

Katanya, dengan mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, Pakatan Rakyat akan melaksanakan usaha reformasi perkhidmatan awam dengan prinsip:

* Mendekatkan jurang pendapatan akan diguna pakai bagi tawaran alternatif PR kepada perkhidmatan awam negara;

* Mengiktiraf sumbangan kakitangan awam yang telah lama berkhidmat atau ‘seniority’ bagi memastikan kenaikan gaji golongan tersebut adalah sepadan;

* Menetapkan elaun khas profesional bagi kakitangan awam yang mempunyai pengiktirafan profesional seperti jurutera (Ir), juru arkitek (Ar), juruukur tanah (Sr) dan seumpamanya; dan

* Menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan mengguna pakai tenaga perunding antarabangsa yang penuh dengan pertikaian dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang, dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan. – Roketkini.com
Related Posts with Thumbnails