Jumaat, 20 Januari 2012

Liwat 2: Peguam Negara Fail Notis Rayuan



SHAH ALAM - Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata dia bersyukur dan menerima baik keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.


"Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan di sini bahawa dengan pemfailan notis rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana," katanya dalam kenyataan segera diposkan pada blognya petang ini.

Kenyataan itu muncul di blog itu kira-kira jam 5.54 petang ini.

Saiful berkata, dia dan keluarga juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang secara langsung dan tidak langsung memberi sokongan agar haknya sebagai warganegara untuk melalui proses keadilan ke peringkat Mahkamah Rayuan terlaksana.

"Saya akan terus berdoa, istiqamah, sabar," katanya lagi.

Sementara itu, bapanya, Azlan Mohd Lazim, 58 juga berterima kasih kepada Abdul Gani kerana memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.

“Saya bersyukur kerana beliau memfailkan kes anak saya pada hari ini (semalam),” katanya.

Semalam, Saiful menghantar surat kepada Abdul Gani untuk memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 9 Januari lalu.

Melalui blognya yang ditulis semalam, Saiful terpaksa menghantar surat rasmi tersebut kerana sehingga blog itu ditulis tiada maklum balas terhadap permohonan beliau dan bapanya, Azlan sama ada pihak Peguam Negara akan memfailkan rayuan atau tidak.

“Masa semakin suntuk. Rayuan ini penting kerana ia membabitkan maruah dan masa depan saya.

“Jika saya berhak memfailkan rayuan itu sendiri, saya akan berbuat demikian tanpa menyusahkan individu lain.

“Namun kuasa mutlak untuk memfailkan rayuan hanya terletak di tangan Peguam Negara,” katanya.

Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 2008.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Saiful selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonuleik (DNA).

Menurutnya, selepas meneliti bahan bukti, mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA tidak terjejas - Sinar Harian Online
Related Posts with Thumbnails