Isnin, 16 Januari 2012

Desak kerajaan benarkan tentera mengundi di luar kem

ALOR SETAR, 16 Jan: Pakatan Rakyat didesak supaya tidak bertolak ansur dalam soal pembuangan undi di kalangan anggota tentera agar mereka tidak lagi dibiarkan membuang undi di dalam kem seperti yang diamalkan oleh Kerajaan BN sejak dulu.

Sekiranya perkara itu dibiarkan, ia pasti akan memberikan keuntungan kepada Umno BN semata-mata kerana gagal dipantau oleh Pakatan Rakyat sepanjang proses pembuangan undi itu berlangsung.

Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab (gambar) berkata, sebaliknya Pakatan Rakyat perlu mencari jalan dan mendesak Kerajaan BN agar membenarkan anggota tentera mengundi di luar kem seperti juga pengundi-pengundi lain.


Menurutnya, jika anggota tentera terus dibiarkan mengundi di dalam kem, pilihanraya akan datang tetap tidak berubah, malah pasti hanya menguntungkan Umno BN semata-mata seperti yang berlaku selama ini.

"Kini telah tiba masanya bagi Pakatan Rakyat bertindak lebih jauh dalam hal ini, dengan mendesak kerajaan membenarkan anggota tentera mengundi di luar kem kerana perkara itu sebenarnya boleh dilakukan dengan mudah jika dikehendaki oleh kerajaan," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Selain itu, beliau turut mendesak Pakatan Rakyat agar mendesak Kerajaan BN memansuhkan undi pos di kalangan anggota tentera kerana pengundian pos telah dikesani oleh beliau mempunyai pelbagai unsur manipulasi.

"Undi pos itu sebenarnya adalah kuasa penentu bagi kemenangan Umno BN dalam pilihanraya. Jadi Pakatan Rakyat mesti mendesak kerajaan agar mengubah perkara itu agar memansuhkan undi pos dalam pilihanraya akan datang," tegasnya.

Sebelum itu, beliau turut menyuarakan perkara yang sama ketika berucap pada acara Ucapan Suara Nurani Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, kelmarin.

Sebagai bekas pegawai tentera, beliau turut kesal kerana negara ini didakwa tidak mempunyai dasar yang jelas berhubung dasar pertahanan negara.

"Jika ada dasar pertahanan negara, di mana letaknya dasar itu? Jika ada dasar, takkan kerajaan boleh beli peralatan tentera dengan sesuka hati tanpa mempedulikan kepentingannya sehingga sanggup membazirkan wang negara?" tegasnya.

Ketika berucap bagi mewakili penjawat awam pada acara yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul itu, beliau turut kesal dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan sistem sedia ada.

"Pihak kerajaan langsung tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan para penjawat awam untuk melaksanakan sistem itu. Kerajaan hanya menjadikan para penjawat awam seperti 'robot' dan 'orang bodoh' sahaja dengan hanya menurut sahaja apa yang diperintahkan," tegasnya.

Penjawat awam di negara ini, tambahnya, berjumlah 1.4 juta orang, tetapi sistem tersebut hanya memberikan keuntungan yang besar kepada segelintir penjawat awam sahaja dan amat merugikan mereka yang lain terutama yang berada dalam kumpulan sokongan.

"Perkara itu amat berbeza berbanding langkah yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat seperti yang terdapat dalam Buku Jingga yang akan memberikan keuntungan serta keadilan kepada semua pihak," ujarnya.

Beliau berharap agar 1.4 juta penjawat awam di negara ini sedar mengenai perkara itu dan turut melakukan perubahan dengan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 akan datang, bagi membolehkan Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya.
Related Posts with Thumbnails