

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan sikap dan prestasinya yang membangggakan itu menjadikan orang yang seperti Nik Aziz amat sukar ditemui di dunia ini.
"Mana ada pemimpin seperti Nik Aziz di dunia ini sekarang? Dah 20 tahun lamanya menjadi Menteri Besar, tapi Tuan Guru Nik Aziz tetap tidak ada tanah, tak ada balak, tak ada wang yang banyak dan rumah mewah," katanya.
Kalau orang lain, menurut beliau, setelah 20 tahun menjadi menteri besar atau memegang tampuk kuasa, pasti akan mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan diri dan keluarga seperti yang sering berlaku di seluruh dunia.

"Tanpa pegangan kuat kepada agama, tidak akan lahir kekuatan iman, kemantapan rohani sehingga menjadikan Nik Aziz muncul sebagai pemimpin yang bersih dari rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai unsur negatif lain," tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berbangga kerana Menteri Besar Kelantan dari PAS itu bukan sekadar muncul sebagai pemimpin bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi juga dapat memimpin serta mentadbir kerajaan dengan cemerlang.
"Walaupun ada orang kata ustaz atau guru agama tak boleh jadi pemimpin kerajaan, tetapi Nik Aziz telah membuktikan bahawa guru agama juga layak, malah lebih berkelayakan menjadi pemimpin," tegasnya yang juga Ketua Umum PKR.

Dengan kecemerlangan sikap dan prestasi yang ditunjukkan oleh Nik Aziz itu, tegasnya, ia sekali gus boleh mematikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang sering mempertikaikan kemampuan golongan agama atau ulama menjadi pemimpin.
"Kini setelah 20 tahun menjadi menteri besar, Nik Aziz ternyata lebih berkebolehan menjadi pemimpin berbanding pemimpin-pemimpin dari Umno BN sehingga menjadikan Kelantan jauh lebih baik setelah berada di bawah PAS atau Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN," tegasnya.
Beliau turut memuji sikap dan prestasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau yakin prestasi baik yang ditunjukkan oleh kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang memegang tampuk pemerintahan di negeri-negeri yang berada di bawah pakatan itu akan dapat dipertahankan oleh kesemua mereka yang terbabit, selaras dengan perjuangan Pakatan Rakyat untuk membela rakyat, bukan untuk mengaut kepentingan peribadi.
Sumber: Harakahdaily.net