Khamis, 2 September 2010

Universitas Muhammadiyah Malang (UMM) tolak pelajar dari Malaysia

MALANG: Universitas Muhammadiyah Malang (UMM), menolak calon mahasiswa dari Malaysia atas semangat nasionalisme mereka terutama untuk fakulti kedoktoran dan farmasi.
“Penolakan itu tidak ada kena mengena dengan panasnya hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. Penolakan ini sudah dilaksanakan sejak fakulti kedoktoran dan farmasi ditubuhkan kira-kira 10 tahun lalu,” kata Rektor UMM, Dr Muhajir Effendi di sini, semalam.
Menurutnya, penolakan mahasiswa Malaysia yang mahu memasuki fakulti berkenaan juga membabitkan mahasiswa asing negara Asia lain termasuk India.

Beliau mengakui, penolakan terhadap mahasiswa asing yang ingin mengikuti kuliah di fakulti kedoktoran universiti ini semata-mata kerana semangat nasionalisme.

Katanya, ia berpunca daripada faktor sama selain dasar institusi pengajian tinggi tertentu di Malaysia yang turut menolak mahasiswa Indonesia mengikuti pengajian dalam bidang sama.

Muhajir juga menegur beberapa institusi pengajian tinggi di Indonesia terutama di sini yang tetap menerima mahasiswa asing memasuki fakulti berkenaan.
Katanya, beliau tidak faham mengapa institusi terbabit tidak mengutamakan mahasiswa tempatan sedangkan di Indonesia sendiri masih kekurangan pegawai perubatan dan farmasi.

“Jika untuk fakulti lain, mahasiswa asing amat dialu-alukan. Di UMM juga ramai mahasiswa asing, namun untuk dua fakulti (kedoktoran dan farmasi) wajib mahasiswa tempatan, mahasiswa asing termasuk Malaysia tidak berhak menggunakan kemudahan mahal dan canggih di dua fakulti terbabit,” katanya.

Muhajir mendakwa, penerimaan mahasiswa asing di beberapa institusi pengajian tinggi di dua fakulti terbabit kerana ia berkaitan standard antarabangsa yang diluluskan perjanjian kawasan perdagangan bebas (AFTA).

“Walaupun calon mahasiswa asing di dua fakulti berkenaan tidak putus-putus ingin memasuki pengajian di UMM dan berani membayar lebih tinggi berbanding mahasiswa tempatan, Insya Allah, UMM akan tetap menjaga komitmen untuk tidak menerima pelajar asing di dua fakultinya yang menelan perbelanjaan tinggi itu,” katanya.

Kuota mahasiswa Fakulti Kedoktoran di UMM rata-rata hanya 170 orang setahun dan 150 di fakulti farmasi Jumlah mahasiswa asing di UMM mencapai ratusan pelajar dan 20 daripadanya berasal dari Malaysia yang mengambil jurusan lain selain perubatan dan farmasi. – Agensi
Related Posts with Thumbnails