BAGAN DATOH - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui gambar memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyembelih lembu itu adalah wajahnya yang telah diubah suai dengan teknik superimpose oleh UMNO.
Katanya, orang sekeliling yang ada dalam gambar itu ketika beliau menyembelih lembu berkenaan adalah sama, melainkan wajahnya telah ditiadakan dan digantikan dengan muka Guan Eng.
“Saya yakin gambar itu sengaja diubah oleh UMNO dan penyokongnya yang terdesak untuk mendapatkan sokongan masyarakat dan cuba memburuk-burukkan hubungan Pas dengan DAP.
“Mereka telah melakukan fitnah besar pada Ramadan ini dengan mengubah gambar itu untuk motif tertentu. Ini adalah kerja terdesak UMNO yang mahu merosakkan hubungan Pas dan DAP,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Aziziah, Batu 20 di sini, malam semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gambar tersebar dalam internet yang memaparkan Guan Eng sedang menyembelih lembu.
Menurut Mohammad Nizar, perbuatan mengubah gambar itu dilakukan untuk memberikan persepsi negatif dalam kalangan kaum India supaya membenci Pas dan kaum Melayu membenci DAP.
Kata beliau, tujuan di sebalik tindakan itu juga supaya timbul perasaan saling benci-membenci antara kaum terhadap Pakatan Rakyat (PR) khususnya Pas dan DAP.
“UMNO tidak akan berjaya untuk menarik sokongan dengan cara sedemikian, malah mereka akan kehilangan lebih ramai pengikut disebabkan tindakan itu.
“Saya rasa orang jauh lebih benci kerana orang UMNO sendiri akan tahu gambar itu dibuat oleh penyokong mereka. Itu akan memberikan timbal balas kepada UMNO kerana dalam bulan Ramadan mereka tergamak buat cerita seperti itu,” katanya.:
Beliau berkata, kejadian mengubah suai gambarnya pernah dilakukan sebelum ini bersama penari bogel Siam ketika bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.