Jumaat, 3 September 2010

Janda Dicekup Besama Lelaki Bukan Islam Di Bulan Puasa


PARIT BUNGA - Niat murni seorang wanita Islam bagi memberi bimbingan didikan agama kepada seorang lelaki bukan Islam dalam mempelajari cara-cara menunaikan ibadah puasa sebagai seorang Islam terbantut apabila mereka ditangkap khalwat dalam Operasi Cegah Maksiat di Taman Gading Jaya, awal pagi semalam.

Menurut Penguatkuasa Agama Daerah Ledang, Mohd Zainal Kadiran berkata, serbuan ke atas rumah teres setingkat ini dilakukan berikutan aduan penduduk setempat yang diterima oleh pihaknya.

"Ketika serbuan dibuat, didapati seorang lelaki bukan beragama Islam keluar daripada sebuah bilik dan membuka pintu rumah tersebut selepas diketuk oleh pihak berkuasa dalam keadaan berseluar panjang hitam tanpa baju.

"Dalam bilik yang sama, kami menemui seorang perempuan Melayu beragama Islam dalam keadaan tidak terurus yang hanya berbaju lengan pendek dan berkain batik di atas katil di mana pada mulanya bilik tersebut dalam keadaan gelap," katanya.

Menurutnya, beberapa anggota polis dari Balai Polis Sungai Mati dan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parit Bunga turut sama dalam operasi yang dilakukan pagi semalam.

"Wanita Melayu berstatus janda manakala lelaki itu pula adalah duda anak lima merupakan seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaannya di sebuah kompleks membeli belah berdekatan di kawasan itu.

"Mengikut keterangan pesalah, wanita ini merupakan pekerja lelaki itu dan mereka telah berkenalan hampir setahun lebih dan mempunyai perancangan untuk bernikah secara sah di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian yang turut sama dalam Operasi Cegah Jenayah itu.

Beliau berkata, lelaki itu berniat untuk masuk Islam sejak dua bulan lalu dan sedang mempelajari cara-cara menunaikan ibadah agama terutama berpuasa di bulan Ramadan dengan bantuan wanita tersebut kerana beliau tinggal berseorangan di rumah serta tiada orang untuk menyediakan sahur.

"Wanita Melayu tersebut disaman dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 27 (1) b kerana didapati berkhalwat dengan seorang lelaki bukan suami atau mahramnya yang boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi lelaki itu pula, beliau tidak akan dikenakan hukuman kerana masih belum mempunyai status Islam dan hanya dijadikan sebagai saksi kejadian kes dan kedua-dua di bawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk membuat laporan tangkapan dan seterusnya diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Ledang untuk perbicaraan selanjutnya," katanya.

Related Posts with Thumbnails