Sabtu, 4 September 2010

Umat Islam wajib bersatu bantah 'Hari Bakar Quran'




Hizb ut-Tahrir Indonesia | Aksi Mengecam Hari Pembakaran Al Quran

Bernama | SUMENEP (Jawa Timur): Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) menyeru umat Islam di seluruh dunia, bersatu membantah kempen 'Hari Bakar Quran' bagi memperingati tragedi serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Antara.

Kira-kira 50 aktivis organisasi Islam konservatif itu mengadakan protes di Sumenep, Pulau Madura di Wilayah Jawa Timur pada Jumaat.

"Semoga Tuhan Maha Berkuasa melaknat golongan yang mencetus dan merancang pembakaran kitab suci Al-Quran.

"Ini merupakan tindakan manusia kejam dan tidak bertamadun," kata jurucakap HTI, Faisal kepada para pendemonstrasi.

Bagi menghentikan kempen ini, semua umat Islam di dunia tidak mempunyai pilihan selain bersatu untuk melakukan yang terbaik demi menghalang kempen itu berlaku pada 11 September ini, menurut Antara yang memetik kenyataan beliau.

"Rancangan itu sendiri telah mengguris hati dan memalukan umat Islam di seluruh dunia. Jangan biarkan ia berlaku," katanya lagi.

Aktivis HTI-Sumenep chapter bernama Rifki berkata, protes itu diadakan bagi mengingatkan komuniti Islam dunia berkenaan rancangan membakar Al-Quran di AS.

"Kami yakin saudara muslimin dan muslimah Islam akan mendapat galakkan untuk melakukan sedaya mereka untuk menghentikan perbuatan itu. Mereka sekurang-kurangnya dapat memanjatkan doa untuk menggagalkan rancangan itu," ujarnya.

"Ini menunjukkan AS mahu melancarkan perang ke atas umat Islam," katanya.

Rancangan kontroversi itu bukan hanya menimbulkan kebimbangan di kalangan umat Islam Indonesia malah mewujudkan kegusaran pada masyarakat warga AS.

Salah seorang rakyat AS, Jennifer S. Byron menerusi artikel terbitannya di laman web Newsweek-Washington Post, menyeru penganut Kristian Amerika agar menolak kempen 'Hari Bakar Quran'.

Katanya, kempen itu merupakan cara sebuah gereja di Florida bagi memperingati ulang tahun kesembilan insiden 11 September.

"Persatuan Evangelicals Kebangsaan (NAE) telah mengeluarkan kenyataan akhbar menentang Hari Bakar Quran.

"Ini bagus, tetapi ia hanya kenyataan untuk meyakinkan penganut Kristian lain bahawa Terry Jones tidak mewakili Kristian Evangelical asli," kata Jennifer.

Serangan 11 September 2001 ke atas AS oleh anggota Al-Qaeda mengorbankan ribuan mangsa terutama yang berada di dalam Menara Berkembar New York.
Related Posts with Thumbnails