Isnin, 30 Ogos 2010

BBC batal temu bual Raja Petra

RPK dikatakan terlalu “panas” bagi Hardtalk dan BBC. — gambar fail

MInsider | KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Stesen penyiaran BBC membatalkan rancangannya menemu bual pengendali portal Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin menerusi program “Hardtalk” yang dijadual untuk siaran Rabu ini.

Kenyataan disiarkan menerusi portalnya, Raja Petra berkata, Bridget Orborne dari BBC telah menghubunginya semalam memaklumkan keputusan stesen itu.

Kenyataan itu mendakwa, BBC memutuskan untuk membatalkan sesi temu bual dengan Raja Petra ekoran nasihat peguam-peguamnya bahawa ia kemungkinan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan juga menyinggung kerajaan Malaysia.

Bridget menambah soalan-soalan yang mereka akan sentuh, kemungkinan sensitif dan bersifat kritis tentang kerajaan Malaysia, kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, Bridget berpendapat oleh kerana program tersebut boleh diikuti dari Malaysia, ia juga sesuatu yang sukar bagi BBC.

“Kelihatan RPK juga terlalu ‘panas’ bagi Hardtalk dan BBC berkata ia jarang membatalkan temu bual program seumpama itu,” kata kenyataan itu lagi.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar adalah antara personaliti tempatan yang pernah muncul dalam program 30 minit Hardtalk.

Raja Petra, yang berhadapan dengan tuduhan fitnah dilepaskan November lalu selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa polis tidak dapat mengesan kedudukannya untuk menyerahkan waran tangkap.

Beliau dipercayai telah meninggalkan negara Mei tahun lalu selepas dikenakan tuduhan memfitnah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat melepas tanpa membebaskan Raja Petra daripada tuduhan memfitnah Rosmah dan dua yang lain kerana penyerahan waran tangkap terhadapnya tidak disempurnakan.

Keputusan itu juga dibuat disebabkan notis tunjuk sebab kepada penjamin iaitu isteri Raja Petra, Marina Lee, juga tidak dapat dilakukan.

Berdasarkan rekod lepas, waran tangkap terhadap Raja Petra dikeluarkan pada 26 Mei 2009 dan kesnya telah disebut sebanyak dua kali.

Raja Petra, 60, dituduh memfitnah Rosmah, semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt Kol Norhayati Hassan dan suaminya Lt Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 10.25 pagi 18 Jun 2008.

Malah beberapa hari sebelum keputusan itu, Raja Petra juga dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan di laman web.

Related Posts with Thumbnails